Berita

3 Februari hari cuti bergaji untuk pekerja di Wilayah Persekutuan

SEKTOR swasta diperuntuk beri cuti am tambahan berbayar pada 3 Februari. - Gambar hiasan
- Diterbit 28 Januari 2022 2:05 PM MYT

SEMUA majikan sektor swasta bagi kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan diperuntukkan untuk memberi tambahan satu hari kelepasan am berbayar kepada pekerja pada 3 Februari bagi mematuhi Akta Kerja 1955 (Akta 265).

Menurut Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), ia berikutan berlaku pertindihan cuti bagi perayaan Tahun Baru Cina yang disambut pada 1 dan 2 Februari 2022 serta Hari Wilayah Persekutuan yang juga jatuh pada 1 Februari.

“Memandangkan kedua-dua hari pelepasan ini bertindih pada 1 Februari, tambahan satu hari lagi hendaklah diberikan kepada pekerja sebagaimana diperuntukkan di dalam proviso Seksyen 60D(1)(b)(ii) Akta Kerja 1955 (Akta 265).

“Sekiranya majikan tidak menyenaraikan Tahun Baru Cina sebagai hari pelepasan am yang diambil, pekerja perlu diberikan pelepasan am berbayar bagi Hari Wilayah sahaja,” jelas JTKSM.

Tambahnya, Seksyen 60(1)(b)(ii) Akta 265 memperuntukkan jika mana-mana hari kelepasan am dalam (a) dan (b) jatuh pada mana-mana hari yang sama, hari bekerja berikutnya selepas itu perlu dijadikan sebagai hari kelepasan am berbayar sebagai ganti.

Mengulas lanjut, JTKSM memaklumkan cuti berbayar tambahan itu hanya tertakluk kepada majikan yang memilih Tahun Baru Cina sebagai hari kelepasan am.

“Bagi majikan yang tidak menyenaraikan Tahun Baru Cina sebagai hari kelepasan am yang diambil, majikan hanya perlu memberikan hari kelepasan am berbayar bagi Hari Wilayah iaitu pada 1 Februari sahaja,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas