Berita

HIDANGAN WAJIB TAHUN BARU CINA

||
- Diterbit 29 Januari 2022 2:30 AM MYT

SETIAP kali sambutan perayaan sesuatu kaum, terdapat pelbagai makanan tradisional disediakan dan ditonjolkan kepada para pelancong. Ia sekali gus dapat memperkenalkan kepelbagaian makanan serta budaya yang terdapat di Malaysia.

Mencari resipi masakan Cina sempena perayaan Hari Cina ini?

Untuk itu, berikut edisi Wilayahku kali ini kongsikan kepada anda dua resipi masakan Cina yang boleh anda masak sempena perayaan hari Cina ini. Jom cuba!

CHANG SHOU MIAN

BAHAN-BAHAN

500 gram mi telur kering/mi kuning

200 gram udang

1 cawan isi ayam

1 mangkuk sawi

1 cawan taugeh

½ cawan carrot

3 biji bawang merah

5 ulas bawang putih

1 sudu besar sos tiram

1 sudu besar kicap manis

1 sudu besar kicap masin

1 ketul kiub ayam

1 sudu besar cili boh

Gula

Garam

Minyak

CARA PENYEDIAAN

  1. Pecahkan bawang merah dan bawang putih.
  2. Panaskan minyak dalam kuali dan tumiskan bawang merah serta bawang putih yang diketuk-ketuk tadi sehingga sedikit kekuningan.
  3. Masukkan cili boh, kacau dan masukkan pula sos kicap manis, sos kicap masin, kiub pati ayam dan sos tiram.
  4. Seterusnya masukkan udang, ayam dan sebatikan.
  5. Kacau sehingga ayam dan udang masak, kemudian masukkan carrot.
  6. Masukkan mi telur kuning, kacau sebati dan masukkan sayur-sayur tadi di atas api selama 4 minit.
  7. Sedia untuk dihidang.

KUIH BAKUL

BAHAN-BAHAN

500 gram tepung pulut

190 gram gula pasir

400 gram gula merah

500 ml air

200 ml santan

Beberapa helai daun pisang

CARA PENYEDIAAN

  1. Masukkan gula pasir, gula merah serta air ke dalam periuk. Kacau sehingga larut dan biarkan sejuk.
  2. Kemudian, masukkan tepung pulut ke dalam mangkuk.
  3. Tuangkan larutan gula dan santan tadi ke dalam tepung pulut. Kacau sehingga sebati.
  4. Masukkan adunan tepung pulut yang telah sebati itu ke dalam kuali dan kacau sehingga adunan menjadi likat.
  5. Alas tin dengan daun pisang, pastikan daun pisang melebihi bahagian atas tin agar mudah mengikatnya di sekeliling tin.
  6. Didihkan air dalam periuk kukusan dan kecilkan api.
  7. Tuangkan adunan ke dalam tin yang telah dialas tadi. Kukus selama 8 jam. Pastikan air yang ditambah ke dalam pengukus adalah air mendidih.
  8. Penutup kukus hendaklah dibungkus dengan beberapa lapisan kain kasa/pembalut aluminium agar wap air tidak menitis ke atas kuih.
  9. Angkat kuih dan sejukkan. Sedia untuk dinikmati. – WILAYAHKU
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas