Berita

28 kes penyakit berkaitan haba, satu kematian dicatatkan – KKM

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 26 Mac 2024 3:50 PM MYT

SEBANYAK 28 kes berkaitan haba direkodkan Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 19 kes membabitkan kelesuan haba dan sembilan kes strok haba.

“Terdapat satu kes kematian akibat strok haba dilaporkan di Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh, Pahang yang melibatkan seorang lelaki berusia 22 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Memperincikan bilangan kes mengikut negeri, beliau berkata Kedah merekodkan kes tertinggi iaitu lapan kes diikuti Perak (tujuh), masing-masing tiga kes di Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah, dua kes di Perlis serta masing-masing satu kes di Johor dan Pahang.

“Seramai 23 pesakit adalah berumur antara 20 dan 59 tahun, manakala selebihnya (lima orang) adalah remaja berumur antara 13 dan 19 tahun,” katanya.

Mengenai kes yang dalam rawatan, beliau berkata terdapat satu kes strok haba melibatkan seorang lelaki berumur 24 tahun yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan, kerana keadaan pesakit masih tidak stabil.

Beliau berkata satu kes strok haba yang melibatkan seorang lelaki berumur 22 tahun yang sebelum ini dirawat di unit rawatan rapi Hospital Sultanah Maliha, Langkawi, Kedah telah dipindahkan ke wad biasa dan dilaporkan stabil.

“25 kes lain telah mendapatkan rawatan dan sembuh,” katanya.

Bagi mengelak pertambahan kes berkaitan haba di negara ini, Dr Muhammad Radzi menasihatkan semua pihak supaya mengambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan tahap hidrat yang mencukupi dan mengurangkan aktiviti fizikal lasak dan di luar rumah pada musim cuaca panas yang melanda negara ketika ini.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam telah mengeluarkan kenyataan bahawa Perlis mengalami gelombang haba (iaitu suhu maksimum harian melebihi 37 darjah Celcius hingga 40 darjah Celcius) sejak 19 Mac lepas.

Turut dilaporkan beberapa kawasan di Kedah, Perak, Kelantan, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sepang di Selangor mengalami cuaca panas Tahap Satu iaitu suhu maksimum harian melebihi 35 darjah Celcius hingga 37 darjah Celcius.

METMalaysia turut menjangkakan cuaca kering dan panas dengan suhu melebihi 35 darjah Celcius masih berlaku di kebanyakan tempat di Semenanjung dan Sabah hingga April ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas