Berita

183 gelandangan diselamatkan, elak jangkitan Covid-19

SEKUMPULAN gelandangan diselamatkan pihak DBKL dalam operasi bersama beberapa agensi dalam usaha pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan di sekitar ibu kota malam tadi. Foto Ihsan DBKL
- Diterbit 27 Mac 2020 6:28 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kira-kira 183 gelandangan diselamatkan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama beberapa agensi dalam satu operasi bermula pukul 11 malam sehingga pukul 3 pagi tadi.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Khairul Azmir Ahmad berkata, operasi tersebut dilakukan bagi menyelamatkan gelandangan daripada terdedah kepada penularan wabak Covid-19.

“Oleh kerana kerajaan telah melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan untuk memutuskan rangkaian virus berkenaan, maka operasi ini dijalankan untuk menyelamatkan golongan tersebut.

“Operasi itu disertai seramai 72 anggota membabitkan kakitangan DBKL, Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan, Alam Flora Sdn. Bhd. dan Persatuan Bulan Sabit Merah,” katanya kepada Wilayahku hari ini.

Khairul Azmir berkata, operasi tersebut berjalan lancar meskipun terdapat beberapa orang gelandangan yang tidak memberikan kerjasama.

“Kemungkinan mereka tidak peka terhadap apa yang berlaku malah ada dalam kalangan mereka beranggapan operasi semalam adalah untuk menahan dan memenjarakan mereka.

“Namun setelah dimaklumkan mengenai ancaman virus itu, mereka dapat memberikan kerjasama,” katanya sambil menambah lokasi pencarian melibatkan kawasan di sekitar Masjid India, Masjid Jamek, Kolej Segi, Kompleks Kotaraya, Bangkok Bank dan Masjid Negara.

Khairul Azmir memberitahu, gelandangan yang diselamatkan itu terdiri daripada 151 lelaki dan 17 wanita warga tempatan.

“Kita juga menyelamatkan 11 lelaki gelandangan warga asing dan empat orang wanita,” katanya.

Jelasnya, kesemua gelandangan diselamatkan itu telah menjalani proses saringan dan pemilihan penempatan yang dilaksanakan oleh YKN dan JKM.

“Gelandangan tersebut ditempatkan di Pusat Transit Gelandangan, Jalan Pahang dan di Anjung Singgah,” katanya.

Dalam pada itu, Khairul Azmir menjelaskan, pihak DBKL hanya membantu untuk menyediakan penempatan untuk golongan itu sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan tamat.

“Sepanjang tempoh perintah itu , pihak JKM dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan membantu menyediakan makanan kepada mereka.

“Selepas pada tempoh itu, kita akan serahkan golongan tersebut kepada pihak JKM bagi tindakan selanjutnya mengikut akta yang dibenarkan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas