Berita

MBSA sita studio, rakaman Karnival Ulang Tahun Lazada ke-8 tiada permit

ANGGOTA PENGUAT kuasa MBSA menyita Studio Media Prima di Glenmarie, Shah Alam malam tadi kerana ingkar arahan.
- Diterbit 27 Mac 2020 5:51 AM MYT

SHAH ALAM – Penganjur program Karnival Ulang Tahun Lazada ke-8 tetap berdegil walaupun dilarang daripada melangsungkan rakaman program itu ekoran pandemik Covid-19.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad, berkata, berikutan itu pihaknya bertindak menyita Studio 1 Media Prima di Glenmarie di sini malam tadi.

Beliau berkata, tindakan itu merupakan kali kedua selepas tempat yang sepatutnya program itu berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral di sini turut disita, pagi semalam.

“Hasil maklumat yang diperoleh daripada kakitangan yang berada di lokasi, penganjur didapati membuat rakaman untuk program itu kira-kira pukul 11 pagi semalam.

“Rakaman yang disiarkan malam tadi di stesen televisyen telah dilakukan tanpa izin dan permit hiburan daripada pihak MBSA,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, Shahrin berkata, pihaknya turut memanggil wakil penganjur, Primeworks Studio Sdn. Bhd. untuk tindakan susulan.

“Kita memaklumkan tindakan penguatkuasaan yang dilakukan dan kompaun sebanyak RM25,000 telah dikeluarkan.

“Kes ini disiasat di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1995 kerana mengadakan aktiviti hiburan tanpa kebenaran dan permit daripada MBSA,” katanya.

Program berkenaan dijadualkan berlangsung dua hari bermula semalam dan hari ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas