Berita

“15 tahun pandu teksi, waktu ini paling mencabar” – Abdul Aziz Osman

||
- Diterbit 4 Februari 2021 7:55 AM MYT

“SEPANJANG menjadi pemandu teksi sejak 15 tahun lalu, keadaan hari ini paling mencabar,” keluh pemandu teksi Abdul Aziz Osman.

Beliau mengakui pelaksanaan PKP 2.0 memberikan tekanan kepadanya dan rakan pemandu yang lain kerana mengalami penyusutan penumpang dengan mendadak sehingga menjejaskan pendapatannya.

“Sebelum PKP diperkenalkan, saya dan rakan-rakan sudah mengalami kesukaran mendapatkan penumpang ekoran persaingan dengan pengendali syarikat e-hailing.

“Ia bertambah buruk setelah PKP tahun lalu dan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ada menunjukkan sedikit pemulihan serta boleh memperolehi pendapatan kira-kira RM50 hingga RM60 untuk kira-kira lapan jam sehari,”

“Apabila PKP 2.o dikuatkuasakan, meskipun banyak sektor ekonomi masih dibenarkan beroperasi, kami hanya mampu memperolehi pendapatan sekitar RM30 hingga RM40 sahaja dalam tempoh kerja yang sama,” katanya kepada Wilayahku hari ini semasa Program Penyampaian Sumbangan Bakul Makanan dan MYBeras di Lobi Menara 1 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KWP, Datuk Seri Rosida Jaafar, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dan Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun.

Dalam kenyataanya, Annuar berkata sebanyak 1,000 bakul makanan berupa barang keperluan harian disasarkan kepada pemandu teksi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mengalami kemerosotan pendapatan akibat COVID-19 sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) hari ini.

“Sumbangan bakul makanan sempena ini adalah SHWP 2021 dan MYBeras@Wilayah ini merupakan salah satu usaha KWP bagi menjamin kebajikan warganya melalui Inisiatif Wilayah Prihatin yang merangkumi aspek ekonomi, kebajikan dan kelangsungan hidup warga kota.

“Inisiatif ini juga seiring dengan tema SHWP 2021 iaitu; ‘Wilayah Persekutuan Wilayah Prihatin’ yang memberikan penekanan kepada pembangunan social safety net dalam kalangan warga Wilayah Persekutuan,” katanya. – AZLAN ZAMBRY – WILAYAHKU

PROGRAM Penyampaian Sumbangan Bakul Makanan dan MYBeras di Lobi Menara 1 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas