Berita

Ada sebab remaja jauhi keluarga – Shiha Zikir

- Diterbit 4 Februari 2021 8:18 AM MYT

ANTARA punca masalah sosial dalam kalangan remaja adalah rumah yang didiami bersama keluarga tidak selesa.

Misalnya banyak rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang masih mempunyai dua bilik dan sempit. Ia menimbulkan konflik apabila ahli keluarga ramai dan meningkat remaja. 

Untuk itu, penyanyi Shiha Zikir mengaku tidak sabar untuk melihat pembaharuan yang bakal dilakukan di Kuala Lumpur terutamanya di kawasan PPR. 

“Saya sangat menyokong usaha murni kerajaan ini. Ramai yang tahu, sebelum ini kebanyakan rumah PPR mempunyai dua bilik sahaja.

“Jadi usaha pembaharuan ini akan dapat memberi keselesaan yang lebih kepada keluarga yang mendiami PPR.

“Bila rumah selesa, keluarga akan menjadi lebih harmoni dan secara tidak langsung golongan remaja lebih seronok berada di rumah. 

“Kita pun sedia maklum, kalau rumah PPR yang sempit  didiami oleh ramai ahli keluarga, mereka lebih selesa lepak di luar bersama kawan-kawan dan ini boleh menyebabkan timbulnya masalah sosial.

“Ini juga menjadi penyebab kenapa sesetengah remaja menjauhi keluarga mereka. 

“Di sini kita boleh lihat, betapa pentingnya rumah yang selesa. Saya sendiri tak sabar untuk melihat pembaharuan ini yang pastinya memberi banyak manfaat kepada masyarakat,” ujar Shiha yang popular dengan lagu AEWO.

Shiha juga bakal mempersembahkan lagu 7 Nasihat di Anugerah Juara Lagu ke 35 tidak lama lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas