Berita

ZULKIFLI ZAIN Meninggal Dunia Akibat Komplikasi Banyak Penyakit

|NORZIZI bersama Allahyarham Zulkifli Zain
- Diterbit 5 September 2020 3:12 PM MYT

PELAKON veteran Datuk Zulkifli Zain, 76, disahkan meninggal dunia akibat komplikasi banyak penyakit sekitar pukul 7.30 malam sebentar tadi, di kediamannya di Ukay Perdana, Ampang. 

Menurut sebuah kenyataan yang dikeluarkan oleh Seniman, Allahyarham Zulkifli telah menghembuskan nafas terakhir disamping isteri tersayang Datin Normala Omar dan lima orang anaknya. 

Zulkifli telah beberapa kali dimasukkan ke hospital sebelum ini disebabkan masalah kesihatan yang meruncing.

NORZIZI bersama Allahyarham Zulkifli Zain

Pelakon yang popular menerusi filem Tiada Esok Bagimu dan Matinya Seorang Patriot ini pernah kritikal disebabkan pendarahan dalam otak pada Mac lalu.

Kemudian pada 7 Mac lalu, Zulkifli dimasukkan ke Hospital UiTM Sungai Buloh akibat jangkitan kuman dalam darah dan masalah buah pinggang.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana selepas solat Zuhur esok.

Zulkifli yang berkahwin dengan pelakon Normala Omar pada tahun 1975 dikurniakan lima cahaya mata iaitu Norzizi,44, Norzaza,38, Norzazila,36, Norzazleen,33, dan Mohd Noor Zabaiq,29. 

Antara filem lain lakonan Allahyarham adalah Jiwa Remaja, Potter Maria, Sesejuk Air Mata Ibu, Selamat Pagi Cinta, Pecah, Cicakman dan banyak lagi. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas