Berita

Hampir 10 tahun tunggu giliran sewa PPR DBKL

MASIH ramai warga kota yang mengharapkan rumah sewa daripada DBKL. MASIH ramai warga kota yang mengharapkan rumah sewa daripada DBKL.
- Diterbit 5 September 2020 6:00 AM MYT

MENGHIDAP penyakit kronik dan terpaksa menyewa rumah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kos yang tinggi.

Itu keadaan yang dialami Mohd Khairulnizam Abd Aziz, 39, selepas permohonan yang dibuat sejak Februari 2009 masih lagi dalam proses.

Malah katanya, mengikut sistem DBKL, nama dia layak untuk memohon rumah sewa dan nombor giliran yang diterima pada masa itu adalah sekitar 2,000.

“Pihak DBKL menyatakan saya layak dan hanya perlu menunggu nama  dibaca dalam mesyuarat untuk mendapatkan rumah.

“Selepas beberapa tahun, saya hubungi pihak DBKL kembali, mereka meminta saya membawa dokumen berkaitan masalah kesihatan yang dialami dan surat sokongan.

“Semua dokumen tersebut telah diserahkan awal tahun ini dan pada hujung Jun lalu mereka sekali lagi menyatakan nama belum dibaca dalam
mesyuarat,” katanya ketika dihubungi Wilayahku.

Menurut Mohd Khairulnizam, rumah yang dimohon itu amat ditunggu-tunggu kerana dia tidak dapat bekerja disebabkan masalah kesihatan di samping perlu menanggung keluarga.

“Saya membawa bas pelancong. Selepas disahkan menghidap sakit jantung, darah tinggi sejak 2013 dan terkini mengalami sakit pinggang, doktor menasihatkan saya untuk tidak memandu kerana mudah terlelap,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd Khairulnizam menyatakan dia kini terpaksa menyewa rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Labuan dengan kos RM700 sebulan.

Ujarnya, perkara yang menghairankan adalah terdapat banyak rumah kosong di sekitar kawasan tersebut tetapi pemohon yang layak sejak 2009 masih belum diterima.

Justeru katanya, dia berharap Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa melihat kembali setiap permohonan untuk menyewa rumah milik DBKL bagi memudahkan urusannya menyara keluarga.

Sementara itu, DBKL ketika dihubungi memaklumkan, setiap permohonan
yang diterima akan dinilai berdasarkan merit dan kelayakan pemohon.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas