Selebriti

Zul Ariffin tarik diri daripada pencalonan ABPBH 34

- Diterbit 11 September 2021 9:40 PM MYT

KEPUTUSAN Zul Ariffin menarik diri daripada dicalonkan dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-34 (ABPBH) mengejutkan ramai pihak terutamanya para peminatnya.

“Bismillah, assalamualaikum semua. Kepada semua peminat-peminat yang sentiasa menyokong kerjaya saya, Alhamdulillah.

“Di sini saya nak beritahu dan umunkan yang saya dah tarik diri daripada semua pencalonan #ABPBH34, dan saya dah hubungi pihak BH. Kepada semua calon-calon, I wish you all the best,” ujarnya menerusi instagramnya.

Mengikut senarai awal yang dikeluarkan, pelakon berkenaan tercalon dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular dan Gandingan Serasi Drama Popular.

Pada malam kemuncak ABPBH 34 yang akan berlangsung pada 13 November ini  mempertandingkan 14 kategori utama dan enam kategori online.

Kategori utama yang dipertandingkan adalah Artis Baharu Lelaki Popular, Artis Baharu Wanita Popular, Pelakon Filem Lelaki Popular, Pelakon Filem Wanita Popular, Pelakon TV Lelaki Popular Xiaomi, Pelakon TV Wanita Popular Xiaomi, Penyanyi Lelaki Popular, Penyanyi Wanita Popular, Artis Kolaborasi / Duo / Berkumpulan Popular, Artis Komedi Popular, Artis Versatil Popular, Pengacara TV Popular, Penyampai Radio Popular dan kategori baru iaitu Watak Animasi Popular.

Manakala enam kategori online yang dipertandingkan adalah Gandingan Serasi Drama Popular, Gandingan Serasi Filem Popular, Anugerah FANtastik Popular, Watak Antagonis Popular, Artis TikTok Popular dan YouTuber Popular. Walaubagaimanapun, undian untuk kategori Anugerah FANtastik Popular dan Artis TikTok Popular hanya akan dibuka mulai bulan Oktober depan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas