Berita

Zoo Negara jalani proses disinfeksi elak jangkitan Covid-19

ISMAIL melakukan semburan disinfeksi pada pagar kendang zirafah di Zoo Negara hari ini.
- Diterbit 17 April 2020 2:17 PM MYT

AMPANG – Zoo Negara menjalani operasi sanitasi awam dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) bersama lima agensi dalam usaha mencegah penularan wabak Covid-19.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib berkata, operasi itu menggunakan bahan kimia yang tidak membahayakan haiwan di dalam zoo.

“Setakat hari ini belum ada jangkitan Covid-19 melibatkan haiwan di negara ini seperti dilaporkan di Amerika Syarikat (harimau), Belgium (kucing) dan Hong Kong (anjing).

“Diharapkan Covid-19 tidak menular kepada haiwan kerana ia akan memberikan akibat yang lebih teruk kepada manusia jika berlaku (penularan jangkitan),” katanya kepada pemberita selepas meninjau Operasi Sanitasi Awam JBPM di Zoo Negara hari ini.

Operasi itu diketuai Ketua Zon 4 Hulu Langat, JBPM Selangor, Penguasa Bomba Kanan 1 (PgKB 1) Shahrin Yusmar Mat Yusof bersama 70 anggota termasuk dari Kementerian Kesihatan (KKM), SWCorp, Alam Flora, Majlis Perbandaran Ampang Jaya serta Jabatan Penerangan.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Operasi JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Datuk Abdul Hamid Hussain.

Dalam pada itu, Ismail berkata, setakat pukul 11 malam semalam, sebanyak 2,284 operasi sanitasi awam dilakukan di seluruh negara dengan keutamaan diberikan terhadap kawasan zon merah.

Antara tempat yang diberi tumpuan adalah bangunan kerajaan, tempat awam, pusat perniagaan, kawasan perumahan termasuk Program Perumahan Rakyat (PPR) dan pasar raya.

“Semalam sahaja kami melaksanakan 196 operasi sanitasi di 70 zon di seluruh Malaysia. Kami akan cuba menyeluruhkan dan menghabiskan seluruh sasaran (operasi sanitasi awam) yang ada,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas