Selebriti

Zizi Kirana sah isteri Yusuf Bahrin, sedia timang anak

- Diterbit 19 September 2021 3:28 AM MYT

DENGAN sekali lafiz, penyanyi lagu Eh Zizi Kirana atau nama sebenar Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil, 36, sah bergelar isteri kepada Yusuf Bahrin, 29, dengan sekali lafaz kira-kira pukul 10.40 pagi ini di Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Pasangan itu dinikahkan oleh Imam Masjid Usamah Bin Zaid, Murshidi Abd Hamid berwakil walikan bapa Zizi sendiri, Mad Tahil.

Majlis pernikahan diadakan secara tertutup mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan hanya dihadiri oleh keluarga terdekat.

Zizi menerima mas kahwin senaskah Al-Quran, sebentuk cincin dan seutas gelang tangan, manakala wang hantaran pula dirahsiakan.

“Alhamdulillah syukur semuanya berjalan lancar… kalau nak tahu hari Jumaat lepas baru kami dapat tarikh dan lokasi nikah.

“Semuanya dilakukan saat-saat akhir! Syukur pernikahan kami ini dipermudahkan… doakan semoga perkahwinan ini diberkati dan kekal sampai ke Jannah.

“InsyaAllah kami merancang untuk mengadakan dua majlis resepsi iaitu di Sabah dan kampung halaman Yusuf di Melaka pada Disember depan,” kata Zizi yang mengenakan persalinan hitam klasik rekaan Shanell Harun dan disolek olehDatuk Alha Alfa.

Ditanya mengenai cahaya mata, Zizi mengaku dirinya dan suami sudah bersedia menggalas tugas sebagai ibu bapa.

“Kalau ada rezeki anak, kami terima seadanya. Kalau ada dua anak pun dah cukup!

“Tiada perancangan bulan madu sebab Isnin ini saya dah bekerja macam biasa… cuma kita ada rancang untuk tunaikan umrah bersama selepas sempadan negara dibuka,” katanya.

Berkongsi mengenai perkenalan mereka, Zizi berkata dia mula mengenali Yusuf ketika rakaman program All Together Now Malaysia (ATNMY) awal tahun ini.

Mereka mula serius mengenali hati budi masing-masing kira-kira dua bulan lalu sebelum mengambil keputusan meneruskan fasa hubungan ke alam perkahwinan. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas