Selebriti

“Banyak hal negatif dalam media sosial” – Tya Ariffin

- Diterbit 20 September 2021 2:05 AM MYT

KETAGIHAN melampau sesetengah masyarakat kini terhadap media sosial dilihat menjadi pendorong kepada pembentukan perilaku dan sikap agresif, sehingga ada yang sanggup bertindak membunuh diri.

Misalnya terdapat sesetengah individu yang mengambil keputusan untuk membunuh diri apabila tidak tahan menjadi mangsa buli siber dalam media sosial.

Untuk itu, selebriti terkenal Tya Ariffin muncul sebagai pengacara dalam program bual bicaranya dalam talian, Bersama Tya.

Tidak hanya mengundang rakan artis dan personaliti di Malaysia, Tya atau nama penuhnya, Nurtria Wulandari Arifin ini turut mengundang selebriti dari Indonesia.

Datuk Seri Siti Nurhaliza, Tengku Zawiyah, Nina Ismail Sabri, Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad antara yang pernah diundangnya.

“Saya fikir ketika pandemik ini ramai yang bergelut. Malah terlalu banyak hal negatif di media sosial. Setidak-tidaknya perkongsian inspirasi dan positif daripada tetamu jemputan atau selebriti boleh menyebarkan aura baik.

“Isu yang dikupas juga sangat dekat dengan kita. Malah ada yang bersifat semasa dan terkini. Malah saya juga tak bataskan hanya tetamu jemputan di kalangan wanita saja. Nanti tetamu lelaki pun ada. Dulu perkongsian atau motivasi saya mungkin terbatas di kalangan usahawan.

“Tapi sekarang ini, sesiapa saja yang mengikuti saya di media sosial boleh mendapat benda sama. Malah saya juga ada kumpulan telegram Tya Arifin.

“Menerusi saluran itu banyak juga hal dikongsi. Boleh juga ke Instagram @bersamatya,” katanya yang meminati pengacara hebat Ellen Degeneres dan Mata Najwa.

Dalam pada itu, Tya juga berharap suatu hari nanti dapat mengundang wanita berpengaruh termasuk Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali sebagai tetamu jemputan.

“Dapat jemput Tun Dr Siti Hasmah jadi tetamu pasti saya akan rasa bangga. Begitu juga di kalangan figura wanita yang menjadi kekuatan pemimpin di Indonesia.

“Malah saya bercita-cita mengundang tokoh pemimpin dan motivasi lain selepas ini,” katanya yang mahu masyarakat terus bangkit dengan aura positif melalui programnya itu.

Program Bersama Tya ini bersiaran secara langsung setiap Isnin, Selasa dan Rabu jam 10 malam di ‘Instagram Live’ sejak 14 Jun lalu.

Terdahulu, menantu penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza ini juga Masih aktif berlakon, menyanyi dan menceburi perniagaan jus kesihatan, Mutyara.

Tya juga mengaku dirinya sudah terbiasa dengan Norma baharu dalam kehidupan rumahtangganya.

“Dalam membiasakan norma baharu sekalipun berdepan kekangan tertentu di era pandemik ini, kenapa tidak saya manfaatkan platform media sosial seperti Instagram hingga ke YouTube.

“Sebenarnya, dulu di negara kelahiran sendiri, Indonesia, saya pernah juga jadi penyampai radio. Cuma tak sempat berjinak jinak jadi pengacara.

“Untuk tugasan program ini, saya banyak melakukan semua kerja sendirian. Awalnya pasukan kerja saya yang menguruskan set program, tetapan gajet, bahan grafik dan sebagainya. Lagi pun saya sudah terbiasa buat ‘live’ di Instagram, jadi tidak canggung.

“Selepas itu, pendek kata semua saya uruskan sendiri. Termasuklah menata rias diri, menentukan pakaian yang mahu dipakai. Malah tetamu atau panel jemputan pun saya sendiri yang undang.

“Lagipun mudah kerana saya bersiaran di rumah. Anak pula jam 9 malam sudah masuk tidur. Jadi masa ‘live’ saya tak diganggu mereka. Pembantu rumah hanya ‘standby’ tekan butang ‘live’ di telefon bimbit saja,” jelasnya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas