Sekilas

Rumah hampir dilelong, gadis ketepi muka lawa jual bantal demi mencari rezeki

- Diterbit 17 September 2021 9:36 AM MYT

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan demi membendung penularan wabak COVID-19 sudah diketahui memberi kesan mendalam kepada masyarakat, tidak terkecuali
pengusaha Homey Bean Bags yang baru mengorak langkah perniagaannya.

Lebih getir apabila, kesukaran yang dialami Fitrie Zariq itu menyebabkan rumah keluarga yang didiami kira-kira 20 tahun hampir dilelong bank semasa PKP tahun lalu.

“Ayah pula ada sakit jantung dan kos perubatannya agak tinggi. Disebabkan itu, kami terpaksa jual barang-barang di dalam rumah demi menyelamatkan rumah yang dipenuhi 1,001 kenangan manis.

“Rumah itu banyak mengisi kenangan kami sekeluarga bersama arwah ibu yang meninggal dunia akibat sakit lelah kronik.

“Ibu suka sangat rumah itu kerana luas untuk kami lima beradik dan arwah juga meninggal di ruang tamu rumah,” ceritanya yang memulakan perniagaan sejak PKP 1.0 berikutan terlampau banyak komitmen yang perlu ditanggung.

Justeru, sebagai anak sulung, dia menggalas tanggungjawab besar dan berusaha sekerasnya untuk mempertahankan rumah tersebut menerusi jualan bean bags secara atas talian.

Katanya yang pernah berhadapan dengan tekanan, faktor adik-beradik dan keadaan ayah yang sudah pencen menaikkan semangat serta iltizamnya untuk meningkatkan lagi sasaran jualan.

Malah, dia tidak menyangka dalam tempoh getir itu, secara tiba-tiba, jualan bean bags yang diusahakan melonjak tinggi dan sentiasa mendapat permintaan pelanggan.

“Mungkin disebabkan PKP, ramai yang duduk rumah. Ia menjadikan pilihan produk perniagaan yang dilakukan sangat bertepatan pada waktu ini.

“Tambahan pula, belum ramai yang mengusahakannya,” ujar bekas wartawan Utusan Malaysia.

Fitrie yang juga pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Kewartawanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, dia terpaksa mengetepikan perasaan malu apabila ramai yang menyangkanya tidak berpelajaran selain pernah dilabel ‘muka cantik, tapi jual bantal’.

Baginya, keadaan sekarang memerlukan usaha dan semangat yang tinggi di samping ilmu perniagaan bagi mendapatkan hasil serta menjana pendapatan.

Bercerita tentang produknya, Fitrie memberitahu, bean bags yang dijual disertakan dengan servis pencucian selain mempunyai pelbagai pilihan warna yang pastinya menepati cita rasa pelanggan.

“Ia juga bersifat santai dan diminati kanak-kanak selain lebih menjimatkan kos berbanding perabot rumah yang lain. Orang dewasa juga boleh gunakannya.

“Bagi yang ingin mendapatkannya, boleh hubungi talian 013-5556209 atau terus ke laman sosial homey_beanbag (Facebook) dan homeybeanbag_hq (Instagram),” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas