Selebriti

Zikir Terapi Acapella pengubat kecewa Hafiz Hamidun

- Diterbit 7 November 2021 11:00 PM MYT

PANDEMIK COVID-19 bukan sahaja memberi kesan terhadap ekonomi dan mental seseorang, malah turut menjejaskan hubungan pasangan yang sedang bercinta.

Begitulah yang berlaku kepada komposer dan penyanyi nasyid Hafiz Hamidun yang pasrah dan akur apabila ikatan cintanya dengan selebriti Indonesia terlerai akhirnya.

Hafiz berkata, hubungan mereka tidak dapat diteruskan kerana kesukaran untuk memberi komitmen disebabkan hubungan jarak jauh dengan dugaan pandemik COVID-19 serta komunikasi yang terbatas.

“Disebabkan COVID-19 ini telah membataskan saya untuk bertemu dengan sesiapa. Jadi, komitmen terhadap hubungan jarak jauh tidak boleh diteruskan.

“Sebenarnya ia memang sesuatu yang agak sukar dan saya fikir adalah lebih baik saya fokus kepada kerja dan keluarga kecil saya sekarang,” katanya ketika sesi sidang media secara maya pelancaran album penuh Zikir Terapi Diri, baru-baru ini.

Walaupun agak kecewa dengan apa yang berlaku, Hafiz tidak pernah sesekali serik untuk berkahwin lagi.

“Sekiranya ada jodoh nanti, apa yang lebih penting wanita itu bukan sahaja dapat menerima diri saya, tetapi juga anak angkat saya iaitu Hamdee,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, hati kecewa Hafiz terubat apabila muncul dengan album penuh studio ke sembilan beliau, Zikir Terapi Acapella, menerusi Arteffects dan Universal Music Malaysia, syarikat muzik utama tanah air.

Album terbaharu ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan album beliau Zikir Terapi Diri pada tahun 2011.

Album fizikal Zikir Terapi Diri telah terjual melebihi 1.5 juta unit di seluruh dunia dan mencatatkan lebih 100 juta tontonan di YouTube.

Menariknya, ini merupakan antara album yang paling berjaya pernah diterbitkan di Malaysia. Setelah sepuluh tahun album tersebut diterbitkan, Hafiz telah mengambil keputusan untuk Kembali ke studio dan merakamkan versi acapella album tersebut.

Penerbitan album ini sangat luar biasa, meskipun Perintah Kawalan Pergerakan Penuh yang dilaksanakan oleh Kerajaan berikutan kes COVID-19 di Malaysia, album ini telah diterbitkan secara maya, di mana Hafiz terpaksa bekerja dari jarak jauh bersama jururakam bunyi berikutan keterbatasan dan kekangan operasi.

Walaubagaimanapun, mengambil kira penggunaan teknologi sepenuhnya di dalam pembikinan album ini, ia telah sempurna dirakam, diadun dan melalui proses mastering selama sebulan.

Bersama-sama kemunculan album ini secara digital, Hafiz akan menerbitkan versi CD secara terhad dan eksklusif menerusi Shopee.

Video muzik dari album ini juga akan mula dikeluarkan bersama-sama pengedaran digital di YouTube.

Album Zikir Terapi Acapella telah diterbitkan sepenuhnya oleh Hafiz Hamidun dan merupakan kerjasama penerbitan di antara label miliknya Arteffects dan Universal Music Malaysia. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas