Selebriti

Imej seksi promosi tudung, itu sudah rezeki Nora Danish

siapa tahu akan dibukakan hati saya ke arah itu (bertudung)" - Nora Danish|PIJA MINAZ bersama Nora Danish
- Diterbit 7 November 2021 11:31 PM MYT

BELUM dilancarkan secara rasmi promosi awal kempen tudung bawal jenama MINAZ yang menampilkan aktres popular, Nora Danish dikecam hebat netizen.

Semuanya gara gara memilih ibu kepada dua cahaya mata itu yang free hair dan sering dilihat tampil dengan imej seksi dan ‘daring’ hingga menampakkan susuk tubuh sekali gus dilihat bertentangan dengan jenama kempen tudung berkenaan.

Pelbagai persoalan timbul termasuk kenapa perlu mengambil selebriti berpengaruh yang tidak bertudung untuk mempromosikan jenama tudung?

“MUNGKIN suatu hari nanti, siapa tahu akan dibukakan hati saya ke arah itu (bertudung)” – Nora Danish

Isteri kepada Mohamad Nedim Nazri itu mengakui sudah imun dan kebal dengan segala kecaman daripada warganet.

“Menjayakan kempen tudung itu atau sebaliknya, saya percaya itu dinamakan rezeki. Saya percaya membuat sesuatu yang baik termasuk menjayakan jenama yang memerlukan pemakaian tudung ini tidak pernah ada salahnya.

“Mungkin suatu hari nanti, siapa tahu akan dibukakan hati saya ke arah itu (bertudung). Semua ini sama seperti kita mendoakan sesuatu yang diharapkan. Ini juga bukan kali pertama saya ditawarkan tugasan mempromosikan jenama tudung.

“Jadi saya sudah terbiasa dengan situasi sebegitu. Kecaman demi kecaman itu lumrah kehidupan manusia. Ia boleh terjadi bukan saja kepada artis tetapi semua golongan termasuk pendakwah dan ahli politik,” katanya yang menjadi wajah kempen jenama tudung itu sejak Oktober lalu.

Sementara itu, Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif jenama MINAZ, Hafiza Abd Hamid atau lebih dikenali dengan nama Pija MINAZ menyatakan keputusannya memilih Nora mempromosikan kempen Blossom 2.0 adalah tepat.

“Hari pertama ketika Nora didedahkan sebagai wajah kempen di media sosial termasuk Instagram rasmi pun memang ramai yang beri maklum balas berbaur positif dan negatif.

“Ada di kalangan peminat bertanyakan kenapa saya perlu pilih Nora kerana tak sesuai penampilan sebenarnya dengan tudung dipakai.

“Saya di maklumkan oleh tim saya sehingga kan ada yang nak boikot dan tidak mahu menyokong lagi keluaran produk kami.

“Pada saya, lebih gemar untuk memandang sesuatu perkara itu pada sudut yang positif. Ada juga yang suka dengan pemilihannya sebagai wajah kempen. Stokis dan agen pun suka sebab Nora sendiri punyai ramai pengikut di Instagram,” katanya.

PIJA MINAZ bersama Nora Danish

Graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, UiTM Shah Alam bertukar ke dunia fesyen itu berkata, pemilihan Nora yang berwajah lembut dan manis sekaligus kena dengan konsep bunga pada rekaan tudung.

“Personaliti Nora ceria dan mudah didekati. Saya yakin boleh pengaruh ramai lagi wanita mengenali jenama kami dan sertai keluarga MINAZ Hijab. Semua maklum balas baik yg positif atau negatif kami terima dengan hati yang terbuka.

“Tapi siapa tahu suatu hari nanti, usaha ini membuka hatinya untuk bertudung dan memilih jenama ini untuk menyuntik semangat. Malah kurang satu jam ketika dibuka untuk pra tempahan 25 Oktober lalu, sebanyak 150,000 helai tudung bawal kempen membabitkannya terjual.

“Ia sekaligus buka ruang untuk bantu lebih 4,000 agen dan stokis seluruh Malaysia jana pendapatan dari rumah di era pandemik COVID-19. Kempen ini akan dilancarkan pada 8 November ini,” katanya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas