Berita

“Tiada maaf bagimu”

KEADAAN pelajar tahfiz yang cedera dipukul menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
- Diterbit 13 Mac 2020 12:48 PM MYT

Oleh MOHD. YUNUS YAKKUB

KUALA LUMPUR – “Saya tidak akan maafkan mereka,” demikian kata Azrul Fikri, terhadap pelaku yang membelasah adiknya, Afiq sehingga parah.

Azrul, 33, memberitahu, dia secara jujur amat kesal dengan tindakan tidak berperikemanusian itu yang boleh mengakibatkan kecederaan kekal kepada Afiq,13,.

Katanya, ketujuh-tujuh pelajar maahad tahfiz itu ada melawat adiknya dengan diiringi tenaga pengajar pusat pengajian itu bagi memohon maaf atas perbuatan mereka.

“Namun, saya secara peribadi tidak boleh menerima permohonan maaf itu.

“Mereka sepatutnya lebih rasional (sebelum memukul Afiq). Sudah tentu, saya mahu hukuman setimpal dikenakan terhadap semua pelajar terlibat itu,” katanya ketika dihubungi Wilayahku hari ini.

Jelas Azrul yang berasal dari Sabak Bernam itu, pihak keluarganya ada menerima panggilan telefon daripada keluarga suspek supaya menarik balik laporan polis berkaitan kes itu.

Namun, setakat ini keluarganya tegas supaya siasatan lengkap dilakukan pihak polis.

“Saya sedih melihat Afiq yang tidak boleh lagi makan di samping terpaksa menggunakan alatan tiub bagi membuang air kencingnya,” katanya.

Wilayahku semalam melaporkan tujuh pelajar lelaki sebuah sekolah maahad tahfiz di Tanjong Karang, Selangor ditahan selepas disyaki terlibat pergaduhan hingga mengakibatkan kecederaan parah terhadap rakan mereka kelmarin.

Kesemua yang ditahan berusia 15 hingga 17 tahun dengan kes disiasat mengikut Seksyen 325/147 Kanun Keseksaan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas