Berita

Peserta Wacana Fatwa Halal perlu buat saringan Covid-19

SEBAHAGIAN peserta Wacana Fatwa Halal yang diadakan di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan pada 5 Mac lalu.
- Diterbit 14 Mac 2020 8:59 AM MYT

LABUAN – Jabatan Kesihatan Labuan meminta masyarakat yang hadir ke Program Wacana Fatwa Halal pada 5 Mac lalu untuk tampil lakukan saringan kesihatan hari ini.

Saringan tersebut dijalankan di Klinik Kesihatan Membedai di sini.

Pengarah Kesihatan Labuan,  Dr. Ismuni Bohari berkata, saringan itu penting memandangkan salah seorang daripada peserta wacana berkenaan didapati merupakan salah seorang daripada dua kes positif Covid-19 yang dikesan di pulau bebas cukai itu semalam.

Menurutnya, dua kes positif Covid-19 itu merupakan antara individu yang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu.

PESERTA mendaftarkan diri pada Wacana Fatwa Halal pada 5 Mac lalu.

“Anggaran lebih 500 orang awam telah hadir Program Wacana Fatwa Halal yang diadakan pada minggu lalu di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan.

“Pihak Jabatan Kesihatan Labuan meminta kepada masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak sahih. Saringan ini merupakan salah satu pencegahan awal untuk memastikan wabak itu tidak merebak,” katanya.

Justeru itu, pihak Kesihatan mengesa kepada semua masyarakat agar tidak panik dan sentiasa mendapatkan maklumat yang sahih daripada Kementerian Kesihatan (KKM )

KKM dalam kenyataannya semalam memasukkan Labuan sebagai antara negeri yang kini ada merekodkan kes Covid-19.

Labuan mencatatkan sebanyak dua kes setakat ini manakala Sabah (15) kes diikuti Brunei terdapat 25 kes direkodkan sehingga semalam. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas