Berita

Zii Jia ketuai cabaran negara ke Kejohanan Berpasukan Asia

ZII JIA bakal galas tanggungjawab besar
- Diterbit 3 Februari 2020 1:56 AM MYT

KUALA LUMPUR – Perseorangan badminton lelaki negara, Lee Zii Jia diberi kepercayaan penuh oleh Persatuan Badminton Negara (BAM) bagi mengetuai skuad muda negara ke Kejohanan Berpasukan Asia di Manila, Filipina bermula bulan hadapan tanpa menyandarkan harapan kepada perseorangan profesional negara untuk layak ke Piala Thomas 2020.

Kejohanan ini turut menjadi pusingan kelayakan ke Piala Thomas 2020 di Aarhus, Denmark pada Mei depan yang mana melihat kedudukan semasa, Malaysia sudah pun layak ke Piala Thomas berdasarkan kuota ranking berpasukan dunia.

Menurut Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann, Zii Jia adalah perseorangan lelaki pertama yang pasti dan dalam masa sama turut melihat peluang untuk memberi pendedahan buat pemain muda.

“Penting buat pemain sama ada meraih kemenangan dan mendapatkan keyakinan atau tewas serta kecewa dengan kecaman yang diterima. Pengalaman ini membolehkan pemain bangkit lebih bagus,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Perseorangan Lelaki Negara, Datuk Misbun Sidek pula berpendapat, secara realitinya skuad negara hanya memiliki Zii Jia sebagai taruhan paling berpengalaman dan menyifatkan pentas seperti Kejohanan Berpasukan Asia merupakan platform terbaik bagi perkembangan kerjaya bakat pemain muda negara.

“Sekarang yang ada hanya Zii Jia, menduduki ranking ke-12. Jika dilihat keseluruhan, memang ada kejohanan yang dimenangi tetapi pemain lain masih belum stabil. Perancangan jangka masa panjang perlu dibentuk,” katanya.

Selain Zii Jia, lima lagi perseorangan negara seperti Cheam Jun Wei, Leong Jun Hou, Lim Chong King, Aidil Sholeh Ali Sadikin dan Ng Tze Yong bakal merebut tiga lagi tiket ke Manila, Filipina.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas