Berita

Chun Yong hilang dua tonggak utama

CHUN YONG punya sasaran tersendiri.
CHUN YONG punya sasaran tersendiri.
- Diterbit 3 Februari 2020 1:54 AM MYT

KUALA LUMPUR – Cabaran getir menanti skuad futsal kebangsaan bagi menghadapi Kejohanan Futsal Antarabangsa Thailand awal bulan depan apabila bakal kehilangan dua tonggak utama, Khairul Effendy Bahrin dan Azwann Ismail akibat kecederaan.

Kejohanan yang akan bermula pada 2 hingga 8 Febuari bertempat di Songkhla, Thailand itu, menyaksikan dua tonggak utama skuad futsal kebangsaan yang beraksi bersama pasukan Pahang dalam Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) tidak dapat beraksi pada kejohanan pertama skuad negara bagi tahun ini.

Menurut Ketua Jurulatih, Chiew Chun Yong, setiap pemain berada dalam keadaan yang baik, cuma dua kelibat utama, Khairul Effendy dan Azwann sahaja yang sedang mengalami kecederaan dan masih dalam proses pemulihan.

“Kami meletakkan sasaran yang tinggi untuk melangkah ke separuh akhir dan bukan ke sana hanya sekadar untuk melengkapkan jadual. Namun, terdapat tujuan utama yang mahu dicapai,” ujar­nya.

Pasukan Malaysia diletakkan dalam kumpulan A bersama-sama pasukan tuan rumah Thailand dan Turkmenistan manakala dalam kumpulan B menyaksikan pasukan Iran, Tajikistan dan juga pasukan Kuwait.

Selain Khairul Effendy dan Azwann, 17 lagi pemain telah melaporkan diri ke Kem Latihan skuad futsal kebangsaan di Arena Futsal FAM, Kelana Jaya bermula 23 Januari yang lalu.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas