Berita

YWP sumbang karpet untuk kariah Masjid As-Sobirin

ZAIZALNIZAM meninjau kerja-kerja pemasangan karpet baharu di Masjid As-Sobirin, Kampung Bukit Changgang baru-baru ini. ZAIZALNIZAM meninjau kerja-kerja pemasangan karpet baharu di Masjid As-Sobirin,
- Diterbit 16 Januari 2022 6:00 AM MYT

HUJAN yang berterusan tiga hari berturut-turut pada 19 Disember tahun lalu telah menyebabkan bencana alam dan banjir genang yang menjejaskan banyak kawasan termasuk di ibu negara Kuala Lumpur dan beberapa tempat di Selangor.

Kesan puing dapat dilihat apabila kemusnahan dalam skala besar telah meranapkan banyak rumah selain merosakkan ribuan kenderaan akibat bencana alam itu. Selain dari kerosakan harta benda, masjid, surau serta rumah ibadat yang lain turut tidak terkecuali ditimpa musibah ini. Banyak peralatan rosak termasuk karpet serta alatan elektronik dan menyebabkan kesulitan kepada jemaah yang ingin mengimarahkan masjid.

Prihatin dengan perkara tersebut, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, yang juga Pengerusi Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) telah mengarahkan penggantian karpet masjid yang baharu dilakukan dengan segera bagi keselesaan para jemaah.

Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun turut memantau proses pemasangan karpet baru tersebut bagi memastikan ianya disiapkan dengan segera bagi keselesaan semua jemaah.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Bukit Changgang Alias Hamdi menzahirkan rasa terima kasih atas keprihatinan Menteri Wilayah Persekutuan dan YWP ini.

“Ia dapat menjimatkan perbelanjaan masjid dan dana sumbangan yang ada akan ditumpukan kepada pembaikan fasiliti yang lain,” katanya. Nazir Masjid As-Sobirin, Abd Hamid Rejab menyatakan rasa syukur di atas sumbangan YWP untuk keselesaan jemaah dan turut mendoakan agar YWP terus maju dalam hal ehwal kebajikan.

Sementara itu, Harian Metro melaporkan keadaan beberapa buah masjid di sekitar Daerah Hulu Langat turut menerima kesan yang agak teruk dan mendapati banyak kerosakan daripada segi fasiliti seperti sistem audio serta karpet.

Nazir Masjid Al-Ehsan, Kampung Sungai Serai, Abd Aziz Ahmad berkata, masjid berkenaan sering dimasuki air sebelum ini tetapi banjir bulan lalu sebagai yang terburuk pernah dialami.

“Sebelum ini, kebiasaannya banjir tidak mencecah paras bumbung. Bagaimanapun, dalam tempoh dua bulan terakhir tahun lalu, masjid kami dimasuki air sebanyak tiga kali dan yang ketiga adalah paling teruk.

“Bahkan kuatnya arus air dan angin pada malam itu sehingga mimbar boleh bergerak ke pintu hadapan.

“Kos membaik pulih juga amat tinggi. Kami ada menerima dana daripada orang awam sehingga kini mencecah RM80,000,” katanya.

Jelasnya, anggaran kerosakan di masjid termasuk sistem audio, karpet, penghawa dingin serta barang elektronik yang lain dianggarkan mencecah hampir RM1.2 juta.

Dalam laporan tersebut, tinjauan yang dilakukan di Masjid Kampung Jawa, Batu 18, mendapati masjid berkenaan turut mengalami kerosakan peralatan elektronik berikutan turut dimasuki air.

Selain peralatan elektronik seperti penyedut habuk, masjid tersebut turut kehilangan fasiliti lain seperti kerusi dan tikar susulan hanyut dibawa arus banjir.

Bagaimanapun air tidak mencecah sehingga semeter dan kami juga bersyukur kerana al-Quran serta kitab-kitab agama selamat selepas diletakkan di tempat yang agak tinggi. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas