Atlet Wilayah

Sedia genggam emas SUKMA 2022

KHALIDAH fokus pada lontaran ketika menyertai Kejohanan Terbuka Kuala Lumpur (fours) di Bukit Kiara tahun lalu. KHALIDAH fokus pada lontaran ketika menyertai Kejohanan Terbuka Kuala
- Diterbit 16 Januari 2022 1:00 AM MYT

ATLET boling padang Wilayah Persekutuan, Nor Khalidah Sanip, 21, mengakui sedang giat menjalani latihan untuk mempersiapkan diri menjelang kejohanan SUKMA 2022 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur.

Biarpun masih tiada sebarang pengumuman tentang tarikh tepat kejohanan tersebut namun atlet yang pernah menggenggam pingat emas pada SUKMA 2016 ini tetap bersiap siaga untuk mengulangi kejayaan tersebut.

“Setakat ini saya difahamkan pihak pengurusan masih mengekalkan senarai nama atlet untuk SUKMA 2020 yang ditangguhkan sebelum ini. Nama saya ada dalam senarai tersebut. Disebabkan itu juga saya melipat gandakan latihan.

“Tambahan pula sudah lama tidak mengikuti sebarang kejohanan disebabkan pandemik COVID-19, jadi banyak yang perlu diasah semula dari pelbagai aspek antaranya teknik balingan dan sebagainya.

“Selain itu, saya juga perlu bersiap sedia dari segi mental dan fizikal kerana sukan boling padang ini memerlukan persediaan yang tinggi,” ujarnya kepada Wilayahku.

Dalam pada itu, Khalidah tidak mahu terlalu meletakkan harapan yang terlalu tinggi terhadap kejohanan tersebut kerana bimbang ia akan ditunda lagi.

“Kalau kita tengok sekarang, angka jangkitan COVID-19 semakin tinggi dan saya gusar kalau ia akan dibatalkan. Walau bagaimanapun sebagai atlet, persediaan diri amat penting setiap masa,” ujarnya lagi.

Biarpun sibuk dengan tugasan sebagai pelajar jurusan Sarjana Muda Sains Kimia di Universiti Malaya (UM), dia tetap meluangkan masa tiga kali seminggu untuk
menjalani latihan di padang dan gim.

“Saya kena bijak bahagikan masa untuk berlatih kerana bagi saya sukan boling padang ini mempunyai masa hadapan yang cerah. Impian saya akan datang ingin menyertai pasukan kebangsaan,” ujar anak bongsu daripada dua orang adik-beradik. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas