Berita

LPMS tawar peluang pekerjaan dalam sektor perkhidmatan perkapalan

YAHYA (tengah) bersama Ahli Lembaga Pengarah LPMS Kapten James dan Kamariah menunjukkan kapal Tugboat iaitu Sumber Tractor 1 dan Sumber Tractor 2 yang menawarkan perkhidmatan tugboat. YAHYA (tengah)
- Diterbit 16 Januari 2022 8:00 AM MYT

SYARIKAT perkhidmatan bot tunda (tugboat) Labuan Pilotage and Marine Services (LPMS) Sdn Bhd bakal memberi peluang pekerjaan kepada penduduk di Pulau Bebas Cukai ini dalam bidang perkhidmatan perkapalan.

Susulan pandemik COVID-19 yang melanda negara khususnya di Labuan, ramai yang terjejas susulan hilang pekerjaan dan sebagainya.

Susulan itu, syarikat LPMS yang telah beroperasi bermula November lalu, bakal menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk pulau ini berdasarkan keperluan perkhidmatan syarikat itu.

Menurut Pengurusnya, Yahya Mohammad, syarikatnya yang mula beroperasi pada November tahun lalu itu menawarkan pelbagai perkhidmatan perkapalan termasuklah perkhidmatan tugboat dari kapal ke kapal.

“Buat masa ini, kami mempunyai dua buah tugboat iaitu Sumber Tractor 1 dan Sumber Tractor 2. Kedua-dua kapal itu boleh beroperasi secara 24 jam jika ada permintaan daripada syarikat-syarikat perkapalan di sini,” katanya kepada pemberita pada perasmian pejabat syarikat itu di Wisma Wong Wo Lo di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah LPMS, Kapten James W.H Lee dan Kamariah Mat Zin. Yahya berkata, selain daripada memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk di pulau ini, ianya juga bertujuan melengkapi di antara pihaknya dengan syarikat perkapalan yang lain.

“Dengan perkhidmatan ini, kita dapat memberikan perkhidmatan tugboat ini kepada syarikat perkapalan yang lain dan ia melengkapkan di antara satu dengan yang lain.

“Di Labuan, perkhidmatan tugboat masih kurang. Oleh itu, dengan adanya perkhidmatan yang syarikat kami tawarkan akan memberi manfaat kepada industri perkapalan di sini,” katanya lagi. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas