Berita

YWP sumbang bantuan mangsa COVID-19

ZAIZALNIZAM (kanan) ketika majlis penyerahan bantuan MAIWP-Prihatin Kasih Asnaf 3.0 baru-baru ini.
- Diterbit 22 Ogos 2021 2:00 AM MYT

YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) terus berusaha keras dalam membantu warga Wilayah Persekutuan terutamanya ketika negara sedang berdepan dengan pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zaizalnizam Zainun berkata, YWP sentiasa prihatin dalam memastikan sumbangan terhadap warga wilayah sentiasa berterusan selari dengan objektif penubuhannya untuk membantu menaiktaraf hidup golongan yang berpendapatan rendah dan memerlukan.

“Kita mengalu-alukan golongan yang memerlukan ini dan berharap mereka tampil untuk memohon skim-skim bantuan yang disediakan YWP.

“Diharapkan mereka menggunakan peluang yang disediakan dengan sebaiknya,” ujar beliau kepada Wilayahku pada Rabu.

Dalam masa sama, Zaizalnizam memberitahu, YWP sentiasa komited memastikan warga Wilayah Persekutuan mendapat bantuan dan perkhidmatan untuk pembangunan kemasyarakatan dalam setiap teras utama yang ditetapkan iaitu pendidikan, ekonomi, sosial, agama dan teknologi (P.E.S.A.T).

“Pelbagai usaha dilakukan secara terus-menerus semata-mata untuk tujuan kebajikan warga Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan agar kehidupan mereka lebih terjamin,” kata beliau lagi.

Malah katanya, sepanjang tempoh pandemik COVID-19 melanda negara, jutaan ringgit telah diperuntukkan untuk kumpulan sasar di ketiga-tiga wilayah, khususnya lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Tambahnya, antara program dan sumbangan yang diwujudkan semasa tempoh pandemik adalah MYBeras serta Kelas Digital Mahir Tutor untuk pelajar B40 yang tidak dapat akses pembelajaran.

Beliau yang hadir dalam satu majlis simbolik penyerahan bantuan MAIWP-Prihatin Kasih Asnaf 3.0 kepada peniaga pasar malam dan bantuan Bakul Makanan kepada masyarakat Labuan yang terkesan ketika pelaksanaan PKPD baru-baru ini turut menyatakan, antara sumbangan yang disalurkan adalah keperluan dapur seperti beras.

“YWP menjalinkan kerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyumbang sebanyak RM525,000.00 untuk membantu warga Labuan yang terjejas dengan PKPD sebelum ini dengan menghantar sejumlah 23,000 pek bakul makanan.

“Antara barangan asas yang disalurkan terdiri daripada beras, gula, tepung dan minyak masak yang merupakan barangan penting lebih-lebih lagi ketika saat terdesak. Bantuan tersebut disalurkan melalui Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan selebihnya melalui jalan laut,” ujar beliau lagi. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas