Berita

22 buah premis ditutup menerusi Ops Patuh DBKL

DBKL menutup premis yang dikendalikan oleh warga asing dan premis
- Diterbit 22 Ogos 2021 1:00 AM MYT

SEBANYAK 12 buah premis perniagaan yang dikendalikan warganegara asing dan 10 buah premis hotel yang menjalankan aktiviti tidak bermoral dikenakan tindakan penutupan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi satu operasi yang dilakukan baru-baru ini.

Menerusi kemas kini di laman Facebook DBKL, penutupan tersebut adalah di bawah Akta yang termaktub dan pihaknya turut mengambil tindakan sitaan serta memindahkan aktiviti perniagaan.

“Penutupan (sealed) terhadap 22 buah premis di bawah Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976. Tindakan sita 87 pelbagai barangan turut dilakukan melibatkan cctv, monitor, kondom, minyak pelincir, video dekoder, buku log, modem dan lain-lain peralatan.

“Manakala tindakan sita/pindah barangan melibatkan 48 pelbagai peralatan seperti vacuum, mesin rambut, meja, kerusi, stall gerai, dapur, tong gas milik premis tanpa lesen yang dikendalikan oleh warga negara asing,” kata kemas kini itu.

DBKL berkata barangan yang disita dipindahkan ke Setor DBKL Taman Miharja Jalan Lombong Cheras bagi tujuan penyimpanan dan dokumentasi.

Pihaknya turut berkata dalam tindakan penguatkuasaan terhadap premis yang menjalankan aktiviti tidak bermoral, DBKL telah menahan 10 orang warga Thailand, 11 orang warga Indonesia, tujuh orang Vietnam (pekerja seks/tukang urut), enam orang warga Bangladesh dan lima warga Indonesia (pengendali premis) untuk diambil maklumat bagi tujuan dokumentasi.

Dalam pada itu, pihaknya turut menyatakan sebanyak 575 buah premis atau syarikat telah dibuat pemeriksaan menerusi Ops Patuh DBKL kali ini dan 26 notis kompaun telah dikeluarkan.

“Dalam Ops Patuh DBKL kali ini, sebanyak 575 buah premis/syarikat telah dibuat pemeriksaan melibatkan aktiviti perhotelan, pusat urut, perniagaan restoran, kedai runcit, pasaraya, kedai barangan am, car wash, gunting rambut dan lain-lain aktiviti yang dibenarkan beroperasi semasa dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) menerusi pematuhan Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan lain-lain kesalahan di bawah akta dan peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan DBKL.

“Sebanyak 26 notis kompaun telah dikeluarkan menerusi Akta 342 atas pelbagai kesalahan terhadap individu/pemilik premis/syarikat yang ingkar pematuhan SOP PPN yang ditetapkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN),” jelas kenyataan tersebut.

Tambahnya DBKL turut mengeluarkan 79 notis kompaun pelbagai kesalahan iaitu 18 notis kompaun UUK 3(1) dan 34 notis kompaun
UUK 20(1)(b) di bawah UUK Pelesenan Tred, Perniagaan & Perindustrian (WPKL) 2016; 4 notis kompaun UUK 3(1) dan 16 notis kompaun UUK 22(1)(b) , UUK Petempatan Makanan (WPKL) 2016; 1 notis kompaun UUK 3(1) , Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.

Pihaknya turut mengeluarkan 2 notis kompaun Seksyen 46(1)(d), Akta Jalan Parit dan Bangunan 1794; 1 notis kompaun Seksyen 107(5), Akta Kerajaan Tempatan 1976; dan 3 notis kompaun Seksyen 29 Akta Hotel WPKL 2003.

Jelasnya lagi tindakan Ops Patuh DBKL ini akan diteruskan dari semasa ke semasa sehingga tamat tempoh PPN dikuatkuasakan serta ianya dilakukan mengikut bidang kuasa dan peruntukan undang-undang serta SOP DBKL dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Warga kota boleh terus menyalurkan maklumat dan aduan kepada pihak DBKL secara atas talian ke https://adukl.dbkl.gov.my,” katanya. -WILAYAHKU- DIANA AMIR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas