Berita

YWP buka permohonan biasiswa Ijazah Pertama , Sasar 200 bakal mahasiswa IPTA

ZAIZALNIZAM (kanan) menyerahkan cek sumbangan biasiswa kepada bakal mahasiswa. - Gambar hiasan
- Diterbit 25 September 2021 2:00 AM MYT

YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) mempelawa anak-anak Wilayah Persekutuan yang berkelayakan untuk memohon Skim Biasiswa Pengajian Tinggi YWP bagi melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Pertama di Institusi-Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) secara sepenuh masa bagi kemasukan semester pertama sesi 2021/2022.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zaizalnizam Zainun, skim yang telah dilaksanakan sejak 2015 itu bertujuan meringankan beban yang ditanggung oleh pelajar dan ibu bapa tambahan lagi di musim pandemik COVID-19.

“Kita memahami kesukaran ekonomi saat ini yang mana ramai terkesan dari segi pengurangan pendapatan atau kehilangan perkerjaan. Jadi, dengan bantuan biasiswa maka ia dapat mengurangkan beban ibu bapa.

“YWP terpanggil membantu anak-anak wilayah ini supaya hasrat mereka untuk meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi akan tercapai dan mampu merubah taraf hidup keluarga pada masa hadapan,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, YWP menyasarkan seramai 200 orang pelajar baharu yang telah mendapat tawaran belajar peringkat Ijazah Pertama di semester satu IPTA seluruh Malaysia secara sepenuh masa sahaja.

“Adalah menjadi harapan YWP agar lebih ramai anak-anak Wilayah Persekutuan mengambil peluang ini yang hanya dikhaskan kepada mereka. Jadi, saya mengalu-alukan kepada bakal mahasiswa untuk memohon,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Zaizalnizam berkata, syarat utama permohonan Biasiswa Pengajian Tinggi YWP adalah pendapatan perkapita keluarga tidak melebihi RM1,000 sebulan dan beberapa syarat yang ditetapkan.

Borang boleh didapati di laman sesawang YWP atau hadir sendiri ke Wisma Pejabat YWP untuk memohon yang mana tarikh tutup permohonan adalah pada 6 Oktober 2021.  – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas