Berita

Harungi pasang surut perniagaan

- Diterbit 25 September 2021 2:00 AM MYT

MENGAKUI tidak pernah mempunyai pengalaman dalam industri makanan dan minuman, pengusaha The Bassment Cafe yang terdiri daripada tiga beradik menyatakan mereka pernah dipandang rendah kerana mempunyai isu pendengaran.

Menceritakan perjalanan awal untuk membuka restoran, Lim Jian Siang berkata, dia dan kembarnya Jian Fu bersyukur kerana adik, Yen Shen yang tamat pengajian dalam bidang optometri sanggup membantu menguruskan dokumentasi membabitkan agensi-agensi kerajaan.

Malah prinsip ‘enggan diketepikan lagi’ yang dipegang membuatkan kembar berusia 31 tahun itu terus cekal membuktikan  kemampuan diri.

“Memang tidak dapat dinafikan bahawa perjalanan kami sejauh ini penuh dengan pasang surutnya. Walau bagaimanapun, kami amat berterima kasih kerana Grab memberi peluang untuk mengembangkan perniagaan kami.

“Lebih-lebih lagi pada waktu pandemik ini, kami bersyukur kerana masih dapat melangsungkan perniagaan menerusi perkhidmatan penghantaran makanan Grab,” katanya kepada Wilayahku.

Berasal dari Kelantan, kedua-dua anak muda itu turut menasihati komuniti senasib supaya sentiasa percaya dan yakin pada kemampuan diri sendiri selain tidak mudah berputus asa dan yakin dengan kebolehan memberikan sumbangan kepada masyarakat sekitar. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas