Berita

Kueggen mahu beraksi di luar negara

KUEGGEN (kiri) ketika Kejohanan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 di Perak.
- Diterbit 19 Ogos 2022 3:47 AM MYT

LEBIH 18 tahun berkecimpung dalam arena sukan membuatkan atlet negara, Kueggen Vijayakumar, 23, semakin matang dalam menentukan arah tuju kejayaannya dalam sukan karate.

Malah, dia berjanji pada diri tidak akan mensia-siakan peluang di depan mata dan nekad untuk mempamerkan aksi terbaik dalam setiap kejohanan yang diwakilinya.

KUEGGEN VIJAYAKUMAR

“Sebelum ini saya pernah mengalami kecederaan serius iaitu Anterior Cruciate Ligament (ACL) di kedua-dua kaki sewaktu latihan dan pertandingan. Selain itu, saya juga pernah ‘down’ apabila kalah pada peringkat separuh akhir Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 yang lalu.

“Sehingga sekarang saya tidak boleh lupakan kenangan pahit itu, namun ia tidak mematahkan semangat saya untuk kekal fokus seterusnya memberikan yang terbaik dalam pertandingan akan datang,” kongsinya kepada Wilayahku.

Bercerita lanjut mengenai sukan yang diminatinya sejak berumur lima tahun, Kueggen berkata idolanya untuk meneruskan perjuangan dalam sukan karate merupakan abangnya sendiri, Ravin Vijayakumar.

“Saya mula mengenali sukan ini melalui abang yang juga merupakan atlet Wilayah Persekutuan. Pada waktu itu, saya selalu mengikut abang berlatih. Tidak sangka akhirnya saya juga jatuh cinta dengan sukan ini,” ujarnya.

Tambahnya lagi, dia bersyukur kerana keluarga sangat menyokong dan tidak pernah jemu memberikan semangat untuk memastikan kejayaan sentiasa mengiringinya.

“Jiwa saya memang dekat dengan sukan ini. Selain saya dapat merasakan masa hadapan yang cerah untuk meneruskan perjuangan dalam sukan karate,” ujar anak kedua daripada empat orang adik-beradik ini.

Menurut pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan, Universiti Malaya yang aktif dalam sukan karate ini, disiplin yang ketat amat penting untuk memastikan dirinya berjaya menentang pihak lawan.

“Buat masa ini, sesi latihan adalah setiap hari. Tidak ada kompromi. Bukan itu sahaja, ketahanan mental juga memainkan peranan yang penting kerana saya perlu bersedia memberi fokus 100 peratus sebelum beraksi bagi mengelakkan sebarang kecederaan,” ujarnya.

Menyimpan hasrat untuk beraksi pada Kejohanan Karate Dunia, Kueggen mencuba sehabis baik untuk mencipta nama dalam negara terlebih dahulu.

“Sekarang saya sedang membuat persediaan untuk aksi pemilihan bagi Kejohanan SUKMA 2022 yang akan berlangsung pada pertengahan September hadapan. Apapun saya berharap terpilih memandangkan ia merupakan SUKMA terakhir saya,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas