Berita

YWP bakal anjur majlis rai frontliner

ZAIZALNIZAM (kanan) menerima cenderahati ketika program penghargaan anjuran JKM baru-baru ini.
- Diterbit 6 November 2021 8:00 AM MYT

YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) berhasrat untuk mengadakan majlis penghargaan besar-besaran kepada petugas barisan hadapan yang berjuang dalam memutuskan penularan pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zaizalnizam Zainun berkata, majlis yang bakal diadakan dalam masa terdekat itu akan menghimpunkan petugas barisan hadapan antaranya dari pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Ini merupakan kesempatan untuk kita memastikan penghargaan disalurkan kepada semua petugas barisan hadapan sekali gus menyanjung jasa-jasa mereka yang begitu besar kepada masyarakat serta negara,” katanya kepada Wilayahku.

Menyentuh tentang perincian majlis tersebut, Zaizalnizam berkata, pastinya ia mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Penghargaan ini bukanlah semestinya memberi sesuatu yang bernilai sebagai ganjaran mungkin dengan adanya majlis tersebut sekurang-kurangnya kita dapat menyatakan hasrat dengan penuh keikhlasan kepada mereka,” ujar beliau.

Terdahulu, Zaizalnizam hadir pada Program Jerayawara Pembangunan Komuniti dan Kemakmuran Wawasan Bersama anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Hotel Grand Seasons, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Zaizalnizam turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak JKM di atas kerjasama yang terjalin selama ini.

“Warga YWP dan JKM sentiasa menggembleng tenaga sepanjang musim COVID-19 untuk memastikan masyarakatWilayah Persekutuan yang terkesan COVID-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dijaga sepenuhnya.

“Kerjasama yang baik ini akan terjalin sampai bila-bila kerana YWP dan JKM merupakan petugas barisan hadapan dari segi kebajikan yang utama di Wilayah Persekutuan ini,” kata beliau lagi.

Pada masa sama, Zaizalnizam berharap dapat menjalinkan kerjasama bersama pihak korporat di luar sana dalam menyalurkan sumbangan untuk sama-sama membantu warga wilayah pada masa akan datang.

“Jika hanya bergantung kepada YWP dan JKM sahaja pastinya sukar tetapi dengan sokongan dan sumbangan daripada badan korporat kita pasti dapat merealisasikan segala apa yang dihajati untuk membantu masyarakat,” ujar beliau. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas