Berita

YWP arah paparan visual, iklan Sugarbook dihenti, turun

PAPARAN visual dan iklan Sugarbook yang dipasang di struktur YWP tular di media sosial kerana tidak sensitif dengan moral masyarakat setempat.
- Diterbit 18 Disember 2019 6:11 AM MYT

KUALA LUMPUR – Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) telah mengarahkan syarikat operator, Tetuan Out Of Home menghenti dan menurunkan paparan visual Sugarbook di dua unit struktur iklan miliknya yang terletak di Mont Kiara dan Bangsar.

YWP dalam satu kenyataan memaklumkan, kedua-dua visual berkenaan telah diturunkan sebagaimana arahan yang dikeluarkan.

“Pada 17 Disember, pukul 8.15 malam, pihak YWP menerima aduan berkaitan pemasangan visual Sugarbook pada dua unit struktur iklan luar di bawah pengurusan YWP.

“Tinjauan di kedua-dua lokasi terbabit pada 9.45 malam, 17 Disember lalu juga mendapati tiada paparan visual berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

PAPARAN visual dan iklan Sugarbook yang dipasang di struktur YWP tular di media sosial kerana tidak sensitif dengan moral masyarakat setempat.

YWP juga telah mengambil tindakan memanggil syarikat operator tersebut dan memberi notis amaran serta surat tunjuk sebab kepada pihak syarikat pada hari ini.

Dalam pada itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyatakan, kandungan iklan berkenaan tidak mendapat kelulusan daripadanya dan YWP.

“Pihak operator telah dimaklumkan berkenaan kandungan iklan yang sensitif dengan norma masyarakat Malaysia. Paparan iklan LED Sugarbook sensitif serta berunsur lucah,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas