Berita

14 penjawat awam terima hadiah

aHMaD SHUKRI (tujuh dari kanan) bergambar bersama penjawat awam yang memenangi hadiah cabutan bertuah kempen YeZ di PPZMaIwP, Presint Diplomatik, Putrajaya baru-baru ini.
- Diterbit 19 Disember 2019 4:59 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

PUTRAJAYA – Seramai 14 penjawat awam di sini terkejut apabila diumumkan sebagai pemenang hadiah cabutan bertuah menerusi Kempen Year End Zakat (YEZ) anjuran Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

Salah seorang pemenang, Mohd. Shahril Mohd. Mansor memberitahu, inisiatif PPZ-MAIWP melalui kempen berkenaan adalah satu usaha yang baik bagi menggalakkan umat Islam membuat bayaran zakat.

“Saya selalu membuat pembayaran zakat melalui potongan gaji kerana platform itu lebih mudah.

“Sekitar bulan November pula saya akan menunaikan zakat simpanan namun tahun ini saya sedikit terlewat dan melakukannya pada Disember.

‘‘Tidak sangka pula terpilih untuk dapat hadiah cabutan bertuah ini,” katanya selepas Majlis Penyerahan Hadiah Kempen YEZ di Kaunter PPZ -MAIWP di Presint Diplomatik di sini baru­-baru ini.

Mohd. Shahril turut mengajak semua masyarakat yang berkemampuan menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan membuat pembayaran zakat bagi membantu golongan memerlukan.

Sementara itu, seorang lagi pemenang, Atiqah Zainal, 32, berkata, dia berasa amat gembira apabila dimaklumkan memenangi hadiah sebuah basikal menerusi cabutan bertuah hasil ibadah zakat bersama PPZ-MAIWP menerusi pembayaran di kaunter di Presint 9 di sini.

“Saya rasa amat bertuah apabila dapat menunaikan ibadah zakat dan memenangi hadiah utama yang disediakan PPZ-MAIWP,” katanya.

Menerusi kempen YEZ, pembayar zakat berpeluang memenangi hadiah menarik setiap minggu menerusi cabutan bertuah yang akan dilakukan pada setiap Isnin sepanjang Disember ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, kempen YEZ bertujuan untuk mengajak masyarakat bersama-sama menunaikan pembayaran zakat sebelum 31 Disember ini.

“Disebabkan itulah, sebagai galakan kita menyediakan kempen ini khas buat penjawat awam yang membuat pembayaran zakat sebelum akhir bulan ini,” katanya.

Antara hadiah menarik yang disediakan untuk pemenang bertuah kempen itu ialah basikal, kamera ‘dashboard’ dan telekung.

Kaunter pembayaran di Presint Diplomatik dan Presint 9 Putrajaya akan beroperasi setiap hari sepanjang bulan ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas