Selebriti

YK ketengah rap timur

YK
YK berharap pendengar di Malaysia menerima kehadirannya. YK
- Diterbit 10 Januari 2020 7:44 AM MYT

KETIKA era 90-an, irama rap pernah melalui zaman kegemilangannya di Malaysia yang mana ketika itu kumpulan rap popular tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

Industri muzik diwarnai dengan nama-nama besar seperti Nico, Kool, Feminin dan sebagainya. Pun begitu, seiring masa berlalu, irama ini masih lagi menjadi pujaan terutamanya golongan remaja.

Kini, penyanyi remaja, Young Khalifa (YK), 25, pula cuba untuk menembusi irama rap dengan harapan lebih mudah untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat terutamanya remaja di luar sana.

“Irama ini lebih mudah didekati dalam kalangan orang muda kerana itu saya berani dan yakin untuk bergerak kehadapan dengan muzik ini,” ujarnya.

Menurutnya lagi, berbeza dengan lagu rap yang dipopularkan oleh penyanyi antarabangsa, lirik serta bahasa lagu rap di Timur tidaklah sekasar luar negara.

“Itu perbezaan ketara yang dapat dilihat yang mana irama rap di negara ini sesuai dengan budaya timur yang berlapik. Kerana itu, ia mudah diterima oleh segenap lapisan umur,” ujarnya.

Yakin irama pilihannya itu mampu diterima umum, YK menyatakan dia jelas dengan pemilihan tersebut kerana yang paling utama baginya adalah irama tersebut begitu dekat dengan jiwanya.

“Dalam industri muzik, setiap irama punya cabaran yang tersendiri namun semuanya terpulang kepada pendengar, saya yakin rap masih memiliki pengikut yang tersendiri,” ujarnya.

Menjadikan kumpulan rap popular Too Phat sebagai idolanya, menurut YK, dia dibesarkan dengan lagu-lagu kumpulan tersebut sekali gus menyuntik minatnya dalam irama itu.

“Mereka memberi saya inspirasi untuk menjadi penyanyi rap terbaik selain daripada penyanyi antarabangsa Eminem dan Logic,” ujar artis kelahiran Singapura ini.

YK atau nama penuhnya Muhammad Iskandar Roswira baru sahaja melancarkan single terbaharu berjudul Me Gusta (Aku Suka) untuk pasaran Malaysia.

“Ia menceritakan tentang seorang lelaki yang ingin cuba memikat seorang wanita namun oleh sebab ego, lelaki tersebut tidak kisah sekiranya wanita yang diminatinya itu tidak suka terhadapnya. Lirik yang santai dan beat yang catchy itu pastinya memukau pendengar di luar sana,” kata YK.

Katanya lagi, selain daripada lagu cinta, dia juga berhasrat untuk mencipta lirik yang berunsurkan nasihat dan teguran buat golongan muda.

Mula dikenali melalui aplikasi Bigo LIVE sekitar tahun 2018, YK mula mendapat perhatian kerana sering berkongsi pelbagai topik berkenaan nyanyian dan rap.

“Pada tahun 2019, saya diundang untuk beberapa persembahan seperti persembahan amal dan juga di Bazaar Geylang Serai, Singapura bermula saat itu saya bergiat aktif untuk menyanyi,” ujarnya yang bernaung di bawah syarikat rakaman Map Music Sdn. Bhd.

Pernah berkongsi satu pentas bersama artis duo, Syamel dan Ernie Zakri untuk penutup tirai pertunjukan Singtel, YK sebelum ini pernah merakam single di Singapura bertajuk Don’t Let Go dan juga pernah berkolaborasi bersama penyanyi Eriy Ryzale bertajuk Hatiku Panas.

Merupakan anak sulung daripada tiga orang adik-beradik, dia yang pernah menyertai program realiti, Asia’s Got Talent (AGT) di Singapura ini menganggap peluang berharga muncul dalam program itu merupakan pengalaman indah buatnya.

“Saya juga banyak memperbaiki diri daripada komenkomen yang diperoleh daripada juri profesional sepanjang program tersebut berlangsung,” ujarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas