Biz

Bank Islam menang Anugerah Al-Mansor

MOHD. MUAZZAM
MOHD. MUAZZAM menunjukkan Anugerah Al-Mansor yang diterima semasa Malam Penghargaan Anugerah Kecemerlangan Islam 1441H/2020 baru-baru ini. MOHD. MUAZZAM
- Diterbit 10 Januari 2020 6:45 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

KUALA LUMPUR – Peneraju perbankan Islam, Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) meraikan tahun baharu dengan Anugerah Al-Mansor yang diperoleh atas Kecemerlangan Perkhidmatan Kewangan Islam di Anugerah Kecemerlangan Islam 1441H/2020.

Anugerah tersebut disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah semasa Malam Penghargaan Anugerah Kecemerlangan Islam 1441H/2020 yang diadakan di sini baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed selaku penerima anugerah tersebut berkata, ia merupakan pengiktirafan kepada sumbangan dan prestasi cemerlang Bank Islam dalam bidang Perbankan serta Kewangan Islam di negara ini seiring dengan persekitaran global.

“Kami amat gembira atas penganugerahan berprestij ini. Memenangi Anugerah Kecemerlangan Al-Mansor menandakan permulaan yang baik bagi Bank Islam untuk tahun 2020 dan ia menjadi pendorong untuk kami mempertingkatkan usaha demi mencapai tahap yang lebih tinggi.

“Sejak ditubuhkan pada 1983 dan sebagai institusi perbankan Islam yang pertama di
Malaysia, Bank Islam terus berkembang kukuh mendepani cabaran,” katanya.

Menurut Mohd. Muazzam, selain itu, pihaknya juga terus meneroka potensi pasaran selain komited untuk berinovasi dan menawarkan produk serta perkhidmatan patuh Syariah yang relevan dan terkini yang memenuhi keperluan pelanggan.

Justeru, ujarnya, bagi pihak Bank Islam, dia merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja, pemegang taruh dan pelanggan di atas komitmen, kepercayaan serta kesetiaan dalam merealisasikan pencapaian tersebut.

Terdahulu, majlis anugerah yang dianjurkan Majlis Dakwah Negara (MDN) bertujuan mengiktiraf kecemerlangan individu dan institusi pelbagai bidang termasuk akademik, korporat, perniagaan serta pertubuhan sosial.

Anugerah tersebut merupakan satu usaha untuk menyokong dan memberi inspirasi bagi mencapai kemajuan, membentuk daya tahan dan meraih kejayaan pihak terlibat tanpa mengetepikan martabat, warisan serta sejarah.

Pemenang anugerah dinilai panel dari kalangan tokoh dalam bidang kehakiman, pendidikan, ekonomi dan syariah antaranya Tun Arifin Zakaria, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob, Tan Sri Dr. Arshad Ayub, Tan Sri Rastam Isa dan Prof. Emeritus Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas