Berita

Yayasan MyPrihatin sasar kutipan RM100,000, bantu pesakit jantung kanak-kanak

DR. HALIMATON (depan, dua dari kanan) bertukar dokumen dengan Raja Zuraida (depan, dua dari kiri) selepas menandatangani MoU program MyHeart siri ke-4 di IJN, Kuala Lumpur hari ini. Turut kelihatan Nurul Izzah (belakang, kiri) dan Akmal Arief (belakang, kanan).
- Diterbit 10 Oktober 2019 8:33 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
Foto AMIN FARISH

KUALA LUMPUR – Yayasan MyPrihatin hari ini menandatangani perjanjian kerjasama (MOU) dengan IJN Foundation bagi melaksanakan kempen MyHeart Siri ke-4.

Menurut Pengerusi Yayasan MyPrihatin, Prof. Datuk Dr. Halimaton Hamdan, kempen itu menyasarkan kutipan RM100,000 sepanjang berlangsungnya program berkenaan sehingga September 2020.

“Kutipan dana itu bagi membantu pesakit jantung kanak-kanak dan remaja berusia 17 tahun ke bawah dari keluarga kurang berkemampuan untuk mendapatkan rawatan di IJN.

“Yayasan MyPrihatin turut berkolaborasi dengan Projek Prihatin – Permatang Pauh Women’s Project (PPWP) yang terdiri daripada ibu tunggal dan suri rumah asnaf bagi menghasilkan pakaian seragam sekolah dengan mana sebahagian daripada keuntungan disalurkan kepada Program My Heart,” katanya pada sidang akhbar di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Ketua Pegawai Operasi IJN, Akmal Arief Mohamed Fauzi; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Sosial IJN Foundation, Raja Datin Seri Zuraida Raja Mansur dan Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Datuk Jawahar Ali Taib Khan.

Katanya lagi, Yayasan Prihatin turut bekerjasama dengan Pertubuhan United Muslim Malaysia (UMM) dan PRESMA bagi menjayakan kempen kutipan dana itu.

“Tabung Prihatin akan diletakkan di kaunter bayaran seperti restoran, kedai dobi dan juga kedai serbaneka dengan sasaran 1,000 lokasi di seluruh negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, selebriti Nur Heliza Helmi juga berkolaborasi dengan Yayasan MyPrihatin menerusi jenama tudungnya HelizaGuzelhive yang mana sebahagian daripada keuntungan akan disalurkan kepada program tersebut.

Sebagai rekod, pada Program MyHeart Siri ke-3, sejumlah RM97,477.33 telah berjaya dikumpul, melepasi sasaran awal RM50,000. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas