Berita

Op Kesan: JPJ sita 12 kenderaan pekerja

KHAIRUL Anwar (kanan), menunjukkan antara kenderaan pekerja yang disita dalam Op Kesan di sekitar Putrajaya di lobi Kementerian Pengangkutan di sini hari ini. -NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 10 Oktober 2019 8:13 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]

PUTRAJAYA- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah bertindak menyita 12 buah kenderaan pekerja dalam Op Kesan yang dijalankan di sekitar Putrajaya semalam dan awal pagi ini.

Pengarah Penguatkuasa JPJ, Khairul Anwar Bachok berkata, melalui operasi yang dijalankan pada 9 Oktober mulai pukul 4 petang hingga 7.30 malam dan hari ini bermula pukul 5 hingga 9 pagi ini bertujuan untuk mengambil tindakan terhadap kenderaan awam khususnya bas pekerja yang melakukan kesalahan.

“Kenderaan pekerja itu terdiri daripada 11 buah bas dan sebuah van persendirian yang dipenuhi penumpang kebanyakannya pekerja pembersihan di bangunan-bangunan kerajaan.

“Antara kesalahan yang dikesan adalah lesen kenderaan tamat tempoh dan tiada perlindungan insuran, tiada lesen memandu dan tiada lesen pengendali” katanya pada sidang akhbar khas di lobi Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.

Menurut Khairul Anwar, kesemua kenderaan yang disita ini telah melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

“Sebanyak 59 notis telah dikeluarkan di bawah APJ 1987 dan 26 notis di keluarkan di bawah APAD 2010.

“Kesemua pemandu yang ditahan dalam lingkungan umur 20 hingga 50 tahun dan bekerja sepenuh masa,” katanya.

Tambah Khairul Anwar, pihak JPJ memandang serius perkara ini dan giat melaksanakan operasi dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan jalan raya di Putrajaya terpelihara di samping keselamatan penumpang terjaga.

“Pihak JPJ juga akan menjalankan kerjasama dengan polis dan PBT bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan.” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas