Berita

Belon meletup: Rawatan pembedahan plastik jika perlu

KHALID melihat tangan mangsa yang melecur akibat belon helium meletup semasa program kecergasan sempena Bulan Sukan Negara 2019 di Dataran Putrajaya Sabtu lalu.
- Diterbit 14 Oktober 2019 9:47 AM MYT

PUTRAJAYA – Mangsa lecur akibat belon helium meletup semasa program kecergasan sempena Bulan Sukan Negara 2019 di Dataran Putrajaya Sabtu lalu akan diberikan rawatan pembedahan plastik sekiranya perlu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, rawatan untuk menghilangkan atau mengurangkan kesan terbakar khususnya di muka mangsa akan diberikan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Alhamdululillah, pihak Hospital Putrajaya telah bertindak untuk menerima semua mangsa dan memberikan rawatan dengan seberapa segera.

“Bagi mangsa yang memerlukan pembedahan plastik, rawatan akan dilakukan di HKL kerana terdapat kepakaran di situ,” katanya kepada Wilayahku selepas melawat mangsa melecur berkenaan.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Zaizalnizam Zainun yang turut menyerahkan sumbangan kepada mangsa terlibat.

Dalam pada itu Khalid menzahirkan rasa syukur kerana tidak ada kecederaan serius yang menyebabkan buta atau sebagainya.

Tambah beliau, insiden yang berlaku itu perlu dijadikan pengajaran dan rawatan akan diberikan sebagaimana yang diperlukan.

Pada Sabtu lalu, 16 orang termasuk kanak-kanak melecur apabila belon helium yang menjadi ‘prop’ untuk program kecergasan sempena Bulan Sukan Negara 2019 di Dataran Putrajaya meletup.

Insiden pukul 11.30 pagi itu dipercayai berpunca daripada perbuatan seorang dewasa yang cuba memutuskan benang ikatan belon dengan pemetik api yang kemudiannya menyambar belon helium berkenaan.

Difahamkan, tiada mangsa yang kritikal atau melecur satu badan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas