Berita

YaPEIM perkenal tiga produk baharu bantu B40

PARIHAH (empat dari kiri) bersama rakan media menunjukkan poster projek Food Bank anjuran YaPEIM baru-baru ini.
- Diterbit 26 September 2019 10:43 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

KUALA LUMPUR – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) baru-­baru ini memper­kenalkan tiga produk baharu berkonsepkan gadaian yang dikhususkan untuk membantu kelompok golo­ngan berpendapatan rendah (B40).

Pemangku Ketua Pengarah Yapeim, Parihah Hasan berkata, produk-produk tersebut iaitu Ar-Rahnu Bisnes, Ar-Rahnu Emas dan Ar-Rahnu Didik diwujudkan selepas pihaknya mendapati terdapat ramai pelanggan YaPEIM yang melakukan gadaian bagi mendapatkan sumber kewangan untuk tujuan berkenaan.

“Dalam pengakalan data kita, kebanyakan pelanggan membuat gadaian bagi mendapatkan duit untuk aktiviti perniagaan serta pendidikan. Mereka menggunakan aset yang ada untuk mendapatkan modal pinjaman bagi memulakan per­niagaan.

“Berdasarkan rekod kita juga, pelangan-pelanggan ini akan menebus kem­bali emas mereka sebab ada banyak kenangan. Saya rasa yang tidak tebus hanya sekitar lima peratus sahaja,” kata­nya dalam sidang akhbar.

Menurut Parihah, kelebihan produk baharu itu adalah mempunyai margin pin­jaman yang tinggi, upah simpan yang berbeza mengikut produk dan se­suai mengikut pelanggan YaPEIM.

Jelasnya, kelayakan adalah bergantung pada syarat-syarat yang dikemukakan bagi setiap produk ber­kenaan antaranya lesen atau sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi Ar-Rahnu Bisnes dan surat tawaran sekolah atau institusi pengajian tinggi (IPT) bagi Ar-Rahnu Didik.

“Ciri-ciri produk baharu pula, sebelum ini YaPEIM bagi 70 peratus sahaja margin pembiayaan tetapi untuk produk baharu ini ia menjangkau sehingga 80 peratus untuk Ar-Rahnu Bisnes dan Ar-Rahnu Emas.

“Untuk Ar-Rahnu Didik, marginnya adalah 75 peratus. Macam mana nak kira margin pembiayaan itu, kalau dia datang bawa barang harganya RM1,000, kita akan beri RM750, jadi di situ bakinya adalah untuk cagaran sebagai pelaksana apabila harga emas naik. Ia cara untuk memastikan pelanggan dan YaPEIM dapat kurangkan risiko apa­bila perlu jual atau sebagainya,” jelas beliau.

Tambah Parihah, tempoh kelulusan bagi pembiayaan tersebut hanya dalam masa 15 minit sahaja dan bergantung kepada dokumen yang dibawa pelanggan.

Dalam pada itu, YaPEIM turut melaksanakan Program Foodbank YaPEIM 1.0 khusus untuk membantu meringan­kan bebanan golongan isi rumah B40 dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang sudah dikenal pasti.

Program tersebut akan memberi manfaat ke­pada 100,000 penerima yang terdiri daripada keluarga kurang berkemampuan di seluruh negara.

Kaedah pelaksanaannya adalah menerusi kerjasama Majlis Agama Islam atau Jabatan Agama Islam dan Pusat Pungutan Zakat serta syarikat-syarikat korporat yang memberi sumbangan dalam bentuk barangan mahu pun makanan kepada individu layak di 153 daerah seluruh negara.

Sejumlah RM4 juta juga diperuntukkan pada tahun hadapan bagi membolehkan program berjalan lancar dan mencapai golongan sasar yang ditetapkan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas