Berita

Jumlah dagangan Malaysia pada November 2021 meningkat 34.9 peratus

KETUA Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin. Gambar - THE STAR
- Diterbit 13 Januari 2022 6:08 AM MYT

JUMLAH dagangan Malaysia pada November 2021 meningkat 34.9 peratus dengan nilai eksport RM112.2 bilion dan import (RM93.3 bilion), menjadikan jumlah keseluruhan bernilai RM205.5 bilion.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan eksport tertinggi dicatatkan di Selangor manakala import di Pulau Pinang.

Berdasarkan statistik eksport import mengikut negeri pada bulan itu, ujar beliau, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan turut mencatatkan eksport lebih tinggi iaitu masing-masing merekodkan +RM1.2 bilion dan +RM692.5 juta.

“Eksport lebih tinggi turut direkodkan di Selangor (+RM6.3 bilion), Johor (+RM5.3 bilion), Pulau Pinang (+RM4.4 bilion), Sarawak (+RM3.1 bilion), Kedah (+RM2.1 bilion), Sabah (+RM1.8 bilion), Pahang (+RM1.6 bilion), Melaka (+RM904.8 juta), Perak (+RM254.0 juta), Negeri Sembilan (+RM245.8 juta) dan Perlis (+RM11.2 juta).

“Walaubagaimana pun, eksport menurun di Terengganu (-RM346.6 juta) dan Kelantan (-RM42.5 juta),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beralih kepada prestasi import mengikut negeri pula, Mohd Uzir memaklumkan, import meningkat RM25.7 bilion berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya yang mana Pulau Pinang mencatatkan peningkatan paling tinggi iaitu +RM6.0 bilion.

Katanya, turut mencatatkan peningkatan Johor (+RM5.6 bilion), Selangor (+RM4.7 bilion), Kedah (+RM2.7 bilion), W.P. Kuala Lumpur (+RM2.2 bilion), Negeri Sembilan (+RM1.8 bilion), Sarawak (+RM749.8 juta), Perak (+RM533.7 juta), Pahang (+RM305.5 juta), Sabah (+RM260.5 juta), Labuan (+RM151.6 juta), Terengganu (+RM105.1 juta) dan Perlis (+RM22.4 juta).

Beliau turut memaklumkan, import menurun di Melaka (-RM34.9 juta) dan Kelantan (-RM5.7 juta).

“Lima negeri mendominasi eksport Malaysia adalah Pulau Pinang iaitu 28.2 peratus (%), Johor (20.6%), Selangor (19%), Sarawak (7.6%) dan Kedah (4%).

“Eksport bagi lima negeri berkenaan menyumbang sebanyak 79.4 peratus daripada jumlah eksport Malaysia. Sementara itu, bagi import, Selangor kekal sebagai penyumbang utama dengan 25.6 peratus, diikuti Pulau Pinang (23.3%), Johor (20.3%), Kuala Lumpur (7.5%) dan Kedah (7.1%),” jelasnya. –  WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas