Berita

Wujudkan Taman Orkid, Bunga Raya

DR. MAHATHIR (depan, tengah) bersama Shahruddin (dua dari kiri) dan Nor Hisham (dua dari kanan) bergambar bersama murid-murid sekolah pada Majlis Perasmian Kompleks Pelawat dan Taman Etnobotani, Taman Botani Perdana Kuala Lumpur baru-baru ini.
- Diterbit 5 September 2019 8:58 AM MYT

Oleh HELMI MOHD. FOAD
[email protected]

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bakal membangunkan dua lagi taman bunga di Taman Botani Perdana di sini dalam usa­ha konservasi fasa ketiga yang akan siap sepenuh­nya menjelang tahun 2022.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor His­ham Ahmad Dahlan berkata, pihaknya akan mewujudkan Taman Or­kid dan Taman Bunga Raya dengan melibatkan suntikan elemen pendidikan untuk manfaat seluruh warga kota dan tarikan kepada para pelancong.

Beliau berkata, pada masa ini proses konservasi yang dilaksanakan me­libatkan fasa dua dengan mewujudkan Taman Etnobotani dengan setakat ini sebanyak RM90 juta telah dibelanjakan untuk menaik taraf Taman Botani Perdana.

“Proses naik taraf itu melibatkan konservasi, penyelidikan dan penambahan 600 spesies pokok tempatan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmikaan Kompleks Pelawat dan Taman Etnobotani, Taman Botani Perdana di sini baru-baru ini.

Perasmian itu disempurnakan Perdana Men­teri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Hadir sama Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh.

Taman Etnobotani yang merupakan hasil usaha konservasi fasa kedua Taman Botani Perdana itu siap pada April lalu de­ngan keluasan 1.007 hektar (2.49 ekar).

Sempena perasmian taman itu, Dr. Mahathir te­lah menanam pokok Kembang Semangkuk atau nama saintifiknya scap­hium macropodum.

Di Taman Etnobotani terdapat pelbagai spesies pokok yang dipamerkan merangkumi pokok teduhan, palma, renek dan herba. Antaranya famili halia, kekacang da limau.

Jelas Nor Hisham, DBKL turut akan menaik taraf seluruh taman rekreasi miliknya bagi memberi­kan kualiti hidup yang lebih baik untuk warga ibu kota.

“Bila tengok pokok cantik ia boleh jadi terapi untuk ceriakan orang Kuala Lumpur supaya mereka dapat kerja lebih kuat,” ­katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas