Fokus

Wujudkan koridor pergerakan haiwan di hutan

LALUAN hidupan liar melintas di Eco Viaduct Sungai Yu, Kuala Lipis, Pahang.
- Diterbit 9 Januari 2020 9:34 PM MYT

SEBAHAGIAN besar bahagian tengah Semenanjung Malaysia merupakan kawasan hutan hujan tropika yang terdiri daripada hutan gunung, dipterokarpa dan paya gambut.

Hutan ini bukan sahaja penting dan kaya dari aspek biodiversiti malah merupakan kawasan tadahan air bagi negara ini. Kepelbagaian biodiversiti dan ekologi di hutan tropika Malaysia merupakan habitat penting bagi mamalia besar termasuk Harimau Malaya, Badak Sumbu Sumatera, Gajah Asia, Tapir Malaya, Harimau Kumbang, Babi Berjanggut serta semua spesies kucing liar dan musang.

Badak Sumbu Sumatera atau Sumatran Rhinoceros ialah spesies badak yang terkecil saiznya di dunia serta merupakan salah satu haiwan yang terlindung.

Pada 23 November 2019, badak sumbu terakhir tersebut yang dinamakan Iman telah mati dan spesies ini telah diisytiharkan pupus di Malaysia.

Situasi sebegitu juga boleh berlaku kepada Harimau Malaya memandangkan populasi haiwan liar itu kini sedang mengalami kepupusan apabila jumlahnya kini hanya tinggal 200 ekor di seluruh Malaysia.

Dapatkah kita membayangkan sekiranya satu-satunya haiwan kebanggaan tanah air yang menjadi simbol kebangsaan pada Jata Negara ini pupus buat selama-lamanya?

TAPIR yang mati dilanggar kenderaan apabila melintas di lebuhraya.

Adakah kita bersedia menerima hakikat bahawa dalam masa lima ke 10 tahun akan datang, sekiranya tiada tindakan drastik dilaksanakan, Harimau Malaya akan pupus seperti spesies Harimau Bali, Caspian dan Java?

Dengan pelbagai kejadian kemalangan di jalan raya, pemburuan haram serta pembukaan kawasan hutan bagi tujuan pembalakan, perlombongan dan pertanian berskala besar, semua hidupan liar yang lain juga akan diancam kepupusan suatu hari nanti.
Pelan induk

Menyedari haiwan liar semakin diancam kepupusan, PLANMalaysia menerusi Rancangan Fizikal Negara Ke-2 (RFN 2) mengenal pasti bahawa fragmentasi hutan mewakili salah satu daripada ancaman utama kepada pemuliharaan biodiversiti dan ekosistem yang baik.

RFN 2 melalui Polisi 19 menggariskan keperluan kawasan Central Forest Spine (CFS) sebagai tulang belakang kepada Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) atau Environmentally Sensitive Area (ESA) di Semenanjung Malaysia.

Menurut Ketua Pengarah PLANMalaysia, Datuk TPr. Mohd. Anuar Maidin, agensi tersebut telah menyediakan Pelan Induk Rangkaian Ekologi – CFS pada 2008 bagi tempoh pelaksanaan 2010-2025. Jelas beliau, CFS kemudiannya dijadikan panduan dalam memelihara, memulihara dan meningkatkan perhubungan antara kompleks hutan melalui konsep rangkaian ekologi.

“Pelan Induk ini merupakan pelan jangka masa panjang melibatkan penwujudan 37 koridor rangkaian ekologi iaitu Rangkaian Utama (Primary Linkages – PL) dan Rangkaian Sekunder (Secondary Linkages – SL) yang mana ia dikenal pasti di Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Johor, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan.

MOHD. ANUAR

“Ia juga sebahagian daripada lapan kompleks hutan yang meliputi Banjaran Titiwangsa-Banjaran Bintang-Banjaran Nakawan; Taman Negara-Banjaran Timur; Tanah Lembab Pahang-Tasik Chini-Tasik Bera serta Taman Negara Endau Rompin-Rizab Hidupan Liar Kluang,” katanya kepada WK2 baru-baru ini.

Mohd. Anuar menjelaskan, kawasan tersebut juga merupakan rangkaian utama bagi pergerakan mamalia besar dari satu hutan ke hutan yang lain dan ia memerlukan penglibatan aktif atau tindakan khas (dengan kos tinggi) seperti pengambilalihan pemilikan hutan persendirian, aktiviti penanaman semula pokok dan pembinaan jejambat sepanjang jalan raya.

Bagi rangkaian sekunder pula, ia adalah penyambung kepada rangkaian utama dengan mengaplikasikan konsep pejalan kaki iaitu gabungan beberapa kumpulan bahagian habitat yang sesuai dan biasanya direka mengikut koridor sungai, kawasan riparian, jalur perlindungan, sisa hutan yang telah dibalak dan kawasan pertanian.

“Rangkaian sekunder ini tidak melibatkan pergerakan mamalia yang besar namun digunakan populasi vertebrata kecil seperti burung, mamalia kecil, serangga, amfibia dan replitia yang memberi manfaat kepada tanaman melalui pendebungaan dan penyebaran biji benih.

“Rangkaian sekunder ini melibatkan kos penyelenggaraan yang murah dengan melibatkan kerjasama penuh pemilik tanah dan pengurus di kawasan tersebut bagi melaksanakan amalan pengurusan guna tanah yang bersesuaian,” katanya. Menurut Mohd. Anuar, pelaksanaan pelan induk tersebut dimandatkan kepada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dan agensi peneraju utama iaitu Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).

Tambah beliau, agensi-agensi di peringkat Persekutuan dan negeri seperti Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Jabatan Pengairan dan Saliran turut dilibatkan secara bersepadu.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, Pelan Induk Rangkaian Ekologi CFS juga mengenal pasti pelbagai jenis projek yang perlu dilaksanakan mengikut fasa pembangunan.

“Fasa Pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (2010- 2015), Fasa Kedua Rancangan Malaysia Ke-11 (2010-2020) dan Fasa Ketiga Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025).

“Setiap fasa ini telah mengenal pasti strategi pelaksanaan dan projek yang perlu dilaksanakan bagi mencapai objektif kajian,” jelasnya.

Fasa pelaksanaan

Mengulas lanjut, Mohd. Anuar memberitahu, walaupun tempoh pelaksanaan Pelan Induk Rangkaian Ekologi-CFS adalah dari 2010 hingga 2025, namun berdasarkan maklum balas yang diterima, terdapat pelbagai perubahan guna tanah yang berlaku di lapangan sehingga mengganggu gugat biodiversiti flora dan fauna serta pelaksanaan projek CFS.

Sehingga kini, beberapa projek atau strategi berdasarkan cadangan Pelan Induk Rangkaian Ekologi–CFS telah berjaya dilaksanakan di dalam Rancangan Malaysia ke-10 dan ke-11 antaranya:

  • Program projek perintis bagi pembangunan rangkaian koridor ekologi CFS iaitu Rangkaian Utama PL2: HS Temengor-Taman Negeri Royal Belum, Gerik, Perak dalam tempoh 2012-2015
  • Pewartaan kawasan tanah kerajaan di dalam rangkaian koridor ekologi di Perak dan Kedah yang melibatkan kawasan sejumlah 23,264.00 hektar.
  • Pemulihan habitat yang melibatkan Negeri Perak, Kelantan dan Selangor
  • Pembinaan lintasan hidupan liar atau viaduct oleh Jabatan Kerja Raya di Rangkaian Utama PL 7 Taman Negara– Hutan Simpan Kekal Tembat, Ulu Terengganu, Rangkaian Utama PL 1 Hutan Simpan Kekal Tanum-Sungai Yu, Rangkaian Utama PL 2 Hutan Simpan Temengor-Taman Negeri Diraja Belum dan Rangkaian Utama PL 8 Baling-Lebuh Raya Gerik.
  • Projek UNDP: Improving Connectivity in the Central Forest Spine (IC-CFS) merupakan projek yang dibiayai oleh pihak United Nations Development Programme (UNDP) Malaysia, Global Environmental Facility (GEF) dan Kerajaan Malaysia untuk tempoh enam tahun bermula pada tahun 2014 sehingga 2019 bertujuan meningkatkan program konservasi biodiversiti, pengurusan hutan dan tanah secara mampan bagi melindungi habitat flora dan fauna melibatkan 3 kompleks hutan utama yang terletak di Negeri Perak, Pahang dan Johor. Melalui projek ini juga mengukuhkan kerangka institusi dan tempatan untuk pengurusan CFS dan penguatkuasaan undang-undang dan menyokong pengurusan landskap hutan yang lestari.
  • Penyediaan Rancangan Pemajuan (Rancangan Struktur dan Rancangan Tempatan) yang mengintegrasikan kawasan CFS di dalam kawalan perancangan.
  • Pembinaan papan tanda, solar amber light, kawalan had laju jalan raya dan pagar elektrik untuk mengurangkan risiko konflik manusia- hidupan liar dan roadkill;
  • Pembinaan salt lick sebagai jenut tiruan bagi hidupan liar untuk menggunakan koridor ekologi
  • Pelaksanaan kajian bagi flora dan fauna
  • MyCFS iaitu gabungan beberapa NGO alam sekitar di Malaysia telah ditubuhkan untuk membincangkan isu-isu yang dapat membantu pelaksanaan CFS dengan lebih efektif.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas