Selera

Tenang di Selera Laman Perdana

MEDAN Selera Laman Perdana menyajikan pelbagai aneka hidangan yang lazat.
- Diterbit 27 Disember 2019 10:17 AM MYT

PUTRAJAYA merupakan sebuah bandar pentadbiran yang menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.

Tarikan Putrajaya sudah pasti Bangunan Putra Perdana yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri dan juga terdapat dua buah masjid yang menjadi kebanggaan warganya, pelbagai taman yang ada malahan bandar ini juga sering menganjurkan pelbagai acara yang menjadi tumpuan orang ramai untuk berkunjung.

Selain daripada bangunan ikonik, tidak keterlaluan untuk katakan bahawa Putrajaya juga merupakan ‘syurga’ makanan kerana pelbagai jenis makanan terdapat di bandar ini selain terdapat banyak medan selera yang disediakan oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) untuk kemudahan orang ramai yang berkunjung mahupun menetap disini.

Sekiranya anda mengunjungi Putrajaya, terdapat sebuah tempat yang menyajikan pelbagai juadah yang ‘kena’ dengan selera anda kerana juadah yang dijual menjadi tumpuan pelancong.

SATE paling mendapat permintaan tinggi dari pelanggan.

Selera Laman Perdana yang berhampiran dengan Bangunan Perdana Putra mempunyai pelbagai jenis makanan yang dijual disini. Kawasan ini dibuka seawal pukul 7 pagi dan terdapat gerai yang menjual menu sarapan seperti roti canai, nasi lemak dan aneka mee yang khususnya untuk pengunjung yang rata-ratanya penjawat awam yang bekerja di kawasan ini.

Selain itu, pada waktu tengah hari terdapat sebuah gerai yang menjual nasi kukus ayam cincang yang sering menjadi pilihan orang ramai yang bekerja disini.

Boleh dikatakan hampir setiap hari gerai ini akan dikerumuni peminat makanan ini kerana anda akan melihat orang ramai akan beratur untuk mendapatkan makanan tersebut.

Selain itu, terdapat sebuah gerai yang menjual makanan barat seperti chicken chop, Lamb chop, dan turut menjual spagheti.

AROMA Char Kuey Teow membangkitkan selera.

Apa yang menariknya dikawasan ini, terdapat sebuah air pancut ditengah-tengah laman ini, dan sekiranya anda berkunjung pada waktu malam, ianya akan kelihatan cantik kerana talaan lampu yang menghiasi kawasan ini.

Medan Selera berkonsep outdoor cafe ini menempatkan sembilan buah kios F&B yang menawarkan pelbagai hidangan termasuklah Char Kuey Teow Mutiara, Nasi Ayam Berempah, Sup Urat Keting, Burger, Roti Canai, Masakan Barat, Sate Special dan pelbagai menu istimewa lain.

Konsep terbuka dan berselerak menjadikan Selera Laman Perdana sesuai dikunjungi, apatah lagi dengan seni hiasan taman yang menarik, tentunya menyejukkan mata yang memandang.

Sekiranya anda berkunjung ke Putrajaya kawasan yang terbaik untuk menjamu selera adalah di Laman Selera Perdana dan ia juga merupakan tempat yang sesuai untuk seisi keluarga.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas