Personaliti

Langkah pertama Eyya

|
- Diterbit 10 Januari 2020 3:33 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

DIKURNIAKAN seraut wajah yang manis dan berperwatakan riang sebenarnya memberikan rezeki berganda buat pemilik nama Nik Nur Amira Syahira Nik Zaini atau mesra dengan panggilan Eyya.

Siapa sangka sikap peramah dan suka menghiburkan orang sekeliling membuka langkah pertamanya dalam bidang seni bukan sahaja sebagai pelawak malah kini sebagai penyanyi menerusi lagu Hey Eyya.

Mula dikenali dengan pertandingan Gegar Lawak anjuran saluran Astro Warna, gadis berusia 23 tahun ini sebenarnya mula dikenali melalui aplikasi Bigo Live beberapa tahun lalu.

Dek kerana sikap suka berjenaka dan menghiburkan pelayar laman berkenaan, gadis yang berasal dari Sandakan, Sabah ini akhirnya memberanikan diri menyertai uji bakat rancangan yang akhirnya mempopularkan dirinya itu.

Meskipun tidak berjaya mendapat tempat pertama, perkara itu bukan penghalang kepada pelajar Diploma Filem dan Penyiaran, Kuala Lumpur Metropolitan University College (KLMU) ini untuk menerobos industri seni tanah air dengan caranya sendiri.

Mendapat kepercayaan daripada Papa Jub Production Sdn. Bhd. yang yakin kepada bakat yang dimilikinya membuatkan dia yakin lagu Hey Eyya mampu memberikan variasi baharu kepada industri seni tanah air.

Tidak mengambil masa yang panjang sepanjang rakaman, meskipun Eyya tidak pernah mengikuti mana-mana kelas vokal, dia berjaya memberikan mutu rakaman yang baik seperti yang dikehendaki.

“Lagu berentak pop dance cukup energetik dan dekat di hati serta ditambah dengan koloberasi bersama Bell Ngasri, saya yakin lagu tersebut mampu menghiburkan sesiapa sahaja.

“Menariknya, lirik lagu yang ditulis Zamzoy bersama Juhana Asri ini mengikut karektor dan keperibadian saya yang ‘happy go lucky’ sekali gus memudahkan saya untuk membawa lagu ini,” ujarnya.

Tambahnya, dia turut bertuah apabila digandingkan dengan Bell memandangkan masing-masing diberikan kepercayaan mengendalikan segmen Parodi MeleTop menerusi rancangan MeleTop.

Sebelum ini, dia turut menyertai pertandingan Muzikal Lawak Superstar anjuran saluran Astro Warna membentuk sebuah kumpulan bersama Pinky dan Sharul Kamal. Turut bertanding termasuklah Bocey, Joey, Zero, Rahim dan ramai lagi.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas