Uncategorized

Xin Loong Kee Fish Head Soup saji sup ikan segar

SUP ikan dan isi ikan disini menjadi kesukaan ramai.
- Diterbit 27 Disember 2019 9:15 AM MYT

PULAU Labuan terkenal dengan hasil laut yang segar. Kerana itu, tidak lengkap percutian anda ke pulau ini seandainya tidak menikmati keenakan makanan laut yang ada di sini.

Alang-alang berada di Labuan, apa kata jangan lepaskan peluang singgah sebentar di gerai Xin Loong Kee Fish Head Soup yang terletak di dalam restoran H&B Coffee Shop.

Terkenal dengan keenakan sup ikannya yang tersendiri, restoran berhampiran Laman Victoria, Labuan ini dibuka seawal pukul 7 pagi dan menghidangkan aneka sup yang terdiri daripada ikan segar dari perairan Labuan.

Menurut pengusahanya, Yap Che Loong, 36, selain dari Labuan, dia turut mendapatkan bekalan hasil laut dari Kota Kinabalu dan sekitarnya bergantung pada keadaan cuaca.

“Pun begitu, ia bukanlah masalah besar asalkan para pelanggan dapat menikmati sup yang dihasilkan dengan ikan segar,” ujarnya mengakui mempelajari cara membuat sup daripada seorang jurumasak terkenal.

Katanya lagi, antara sup ikan yang terdapat di restorannya itu disediakan daripada ikan kerapu lantaran, ikan kerisi, ikan merah, ikan putih cermin dan sebagainya.

“Harga untuk semangkuk sup ikan kerapu lantaran agak mahal sedikit iaitu RM15 semangkuk berbanding sup ikan lain yang berharga RM10. Ini kerana faktor harga ikan tersebut yang lebih mahal,” katanya.

Bercerita tentang keistimewaan restoran yang dibuka sejak empat tahun lalu itu, antara tarikan utama Xin Loong Kee Fish Head Soup adalah sup yang disediakan sentiasa berada dalam keadaan panas.

“Di Labuan terdapat berpuluh buah restoran yang menyajikan sup, jika kualiti kesegaran itu tidak dijaga, sukar untuk bersaing di pasaran,” ujarnya.

Akuinya, selain hidangan sup, pelanggan juga menggemari hidangan tom yam, asam kari, kari kepala ikan, mi kolok dan sebagainya.

“Kebanyakan pengunjung terdiri daripada pelanggan tetap yang sentiasa memberi maklum balas positif terhadap semua menu yang ada di sini,” ujarnya yang mempunyai 10 kakitangan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas