Berita

Wilayahku Junior Championship 2020 bakal dijadikan acara tahunan

SEBAHAGIAN peserta cilik yang mengambil bahagian dalam Wilayahku Junior Championship.
- Diterbit 2 Februari 2020 11:26 AM MYT

KUALA LUMPUR – Wilayahku Junior Championship 2020 (WJC 2020) yang berlangsung selama dua hari di Padang Bola Sepak KLFA, Taman Melawati menyaksikan pasukan CIMB YFA menjuarai perlawanan bagi kategori pasukan bawah lapan tahun.

Sementara itu, bagi kategori bawah 10 tahun (plate) dimenangi Ombak FC manakala WM Wolf muncul juara (cup).

Bagi pasukan bawah 12 tahun pula, juara (plate) diraih BTR 09 dan juara (cup) pula milik Saujana Impian.

Selain daripada juara dan naib juara, Wilayahku Junior Championship 2020 turut mempertandingkan kategori pemain terbaik bawah lapan tahun, 10 tahun dan 12 tahun selain Best DNA Award KLRA.

Sementara itu, menurut Pengurus Besar Wilayah Media Sdn. Bhd, Mohd. Burhanuddin Othman, sambutan kejohanan ini amat luar biasa dan di luar jangkaan.

“Saya teruja dengan komitmen yang diberikan semua pihak dan besar kemungkinan ia bakal dijadikan acara tahunan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau turut berbesar hati menyampaikan hadiah berupa piala dan medal kepada pemenang.

Turut hadir memeriahkan WJC 2020, Exco Kuala Lumpur Football Association, Mustafa Kamal dan Eksekutif Jualan dan Pemasaran Wilayahku, Mohd. Zuhairi Mazlan.

Terdahulu, sebanyak 27 pasukan berentap merebut gelaran juara pada perlawanan bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan.

Kejohanan yang berlangsung pada 1 hingga 2 Februari itu merupakan anjuran akhbar Wilayahku dengan kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Kuala Lumpur Rovers Academy (KLRA). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas