Berita

Pembangunan Kampung Baru ambil kira hak dan kepentingan orang Melayu

SULTAN ABDULLAH bertitah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena Hari Wilayah Persekutuan 2020 di Istana Melawati, Putrajaya hari ini. Foto: NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 1 Februari 2020 8:23 AM MYT

PUTRAJAYA – Kampung Baru  wajar dibangun dan dimajukan seiring dengan pembangunan pesat Kuala Lumpur dengan mengambil kira keutamaan hak dan kepentingan orang Melayu di bandar raya ini.

Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, kerajaan sedang berusaha untuk membangunkan semula Kampung Baru menerusi pelan pembangunan yang telah dirangka dengan teliti.

Dalam titahnya, Seri Paduka turut menyuarakan harapan agar pembangunan Kampung Baru dapat direalisasikan dengan mengambil kira hak dan kepentingan orang Melayu memandangkan ia merupakan simbol penempatan orang Melayu di bandar raya ini.

Titah baginda, perkara tersebut telah disembah maklum bahawa rancangan pembangunan semula adalah untuk memperkasakan masyarakat Melayu di Kuala Lumpur.

“Menerusi pembangunan semula ini, hak milik tanah akan kekal kepada orang Melayu, selain itu warisan seni bina dan budaya Melayu akan terus kekal dan diperkasakan,” titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena Hari Wilayah Persekutuan 2020 di Istana Melawati di sini hari ini.

Baginda turut menzahirkan rasa amat gembira dan bersyukur melihat usaha dan komitmen kerajaan dalam membangunkan Wilayah Persekutuan.

“Pelbagai aktiviti dan inisiatif yang dilaksanakan secara berterusan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan melibatkan penyertaan kumpulan sasar khususnya rakyat dari kumpulan B40.

“Ia bertujuan untuk menjaga kebajikan rakyat, meringankan kos sara hidup dan menaikkan taraf hidup rakyat,” titah baginda.

Sultan Abdullah bertitah, antara inisiatif yang dilihat memberikan impak secara terus kepada rakyat adalah perkhidmatan bas percuma Go KL, pemilikan rumah kepada golongan asnaf serta kemudahan penginapan dengan kadar sewaan yang rendah bagi golongan bujang B40 yang baru berhijrah mencari rezeki di ibu kota.

“Beta berharap inisiatif dan program yang dilaksanakan kerajaan akan dapat dinikmati rakyat Wilayah Persekutuan sekaliannya, tanpa mengira bangsa mahupun agama,” titah baginda.

Dalam pada itu, Seri Paduka turut bertitah agar pembangunan sukan tidak dilupakan kerana ia merupakan wadah terbaik dalam menyatupadukan dan menyihatkan masyarakat terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

“Beta berharap agar program-program sukan di Wilayah Persekutuan terus diperkasakan dengan lebih ramai atlet dari Wilayah Persekutuan dapat dilahirkan untuk mengharumkan nama negara di persada antarabangsa,” titah baginda.

Turut hadir Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad.

Sementara itu, Seri Paduka menzahirkan rasa kagum atas pendekatan segera yang diambil kerajaan dalam mengelakkan penularan wabak Novel Coronavirus di negara ini.

“Kerajaan bagaimanapun, perlu mengambil langkah pencegahan yang berterusan dan tidak sesekali berkompromi dalam isu yang melibatkan kesejahteraan rakyat dan negara.

“Rakyat juga perlu berganding bahu dengan kerajaan dalam melaksanakan langkah-langkah pencegahan.  Dalam hal ini, Beta meminta seluruh rakyat mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi dan sama-sama menjaga kebersihan alam sekitar.

“Rakyat juga diminta untuk tidak menimbulkan suasana cemas menerusi penularan berita yang tidak benar,” titah baginda.

Seramai 188 individu dikurniakan darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Wilayah Persekutuan tahun ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas