Berita

Wilayahku bakal lancar portal berita baharu

PORTAL Wilayahku yang bakal dilancarkan mampu meluaskan segmen pembaca melibatkan golongan muda dan warga di luar Wilayah Persekutuan.
PORTAL Wilayahku yang bakal dilancarkan mampu meluaskan segmen pembaca melibatkan golongan muda dan warga di luar Wilayah Persekutuan.
- Diterbit 17 Ogos 2019 5:45 AM MYT

PUTRAJAYA – Dalam usaha untuk terus merancakkan berita-berita berkaitan Wilayah Persekutuan kepada pembaca di Wilayahku bakal memper­kenalkan ruangan portalnya yang boleh dilayari di laman wilayahku.mentera.my.

Lebih interaktif, mudah, cepat, bergaya serta mesra pengguna, portal Wilayahku turut menyajikan berita-berita semasa termasuk isu melibatkan jenayah, bencana, ekonomi dan sukan.

Portal Wilayahku juga menampilkan beberapa elemen baharu termasuk video dan mempunyai pautan kepada rangkaian media sosial.

Pengenalan portal berkenaan selaras dengan usaha menarik segmen pembaca dalam kalangan orang muda selain meluaskan liputan berita ke seluruh negara.

Pelancaran portal itu juga atas permintaan pembaca-pembaca dari luar kawasan Wilayah Persekutuan yang ingin mendapatkan maklumat mengenai perkembangan aktiviti masyarakat ibu kota.
Portal tersebut turut membolehkan pembaca memuat turun akhbar Wilayahku versi format PDF (portable document format).

Pelancaran portal Wilayahku dijadual disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad di Putrajaya pada 19 Ogos ini.

Pada majlis sama, timbalannya, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh akan melancarkan buku ‘365 Hari Mengurus Transisi Memenuhi Harapan’ karya Khalid.

Buku tersebut merupakan terbitan Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerja­sama akhbar Wilayahku.

Wilayahku merupakan akhbar yang diurus terbit oleh Wilayah Media Sdn. Bhd., anak syarikat Yayasan Wilayah Persekutuan. Ia telah dilancarkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan pada 4 Januari lalu.

Akhbar mingguan tersebut diedarkan secara percuma di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dengan tagline ‘media warga kota’.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas