Berita

Dekati murid pendidikan khas

AHMAD (depan, empat dari kanan) bergambar bersama sukarelawan dan peserta program Celik IT yang diadakan di PPDK Sentosa, Kuala Lumpur baru-baru ini. (1)
AHMAD (depan, empat dari kanan) bergambar bersama sukarelawan dan peserta program Celik IT yang diadakan di PPDK Sentosa, Kuala Lumpur baru-baru ini. (1)
- Diterbit 17 Ogos 2019 5:47 AM MYT

KUALA LUMPUR – Sekumpulan pensyarah dan mahasiswa Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaya (UM) turun padang menjayakan program Celik IT bersama guru dan pelatih di Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sentosa di sini baru-baru ini.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti di bawah geran penyelidikan komuniti oleh Pusat Komuniti dan Kelestarian UM (UMCares).

Pensyarah kanan Jabatan Sistem Maklumat, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UM, Dr. Nor Liyana Mohd. Shuib yang juga ketua penyelidik program berkata, para sukarelawan telah berkongsi kemahiran mengendalikan program dan aplikasi komputer kepada 40 orang pelatih melalui pelbagai aktiviti termasuklah pengeditan gambar, pembangunan laman web dan sesi kraf tangan.

“Kemahiran mengendalikan komputer mampu menjadi alat bantuan pembelajaran untuk pelatih di sini terutamanya dari aspek kemahiran motor.

‘’Program dan aplikasi yang diperkenalkan juga mampu dijadikan platform untuk mereka melakukan refleksi dan menyerlahkan sisi mereka yang mungkin sukar dilakukan dengan kekangan fizikal yang dialami,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Nor Liyana berkata, penyelidikan yang turut melibatkan penyelidik dari UiTM Cawangan Perak dan Sunway College Ipoh itu menyasarkan penggunaan perisian komputer kepada murid-murid keperluan khas yang mempunyai masalah kesihatan seperti autisme, lemah pembelajaran, kelainan upaya fizikal, ADHD dan lain-lain.

“Selain keperluan penyelidikan, program ini juga merupakan salah satu inisiatif perkongsian ilmu antara universiti dan komuniti. Kepada para petugas di PPDK Sentosa, kemahiran teknologi maklumat yang diterima boleh digunakan dalam mengurus dan mengemas kini maklumat dan aktiviti seharian,” katanya.

Kata Nor Liyana lagi, program ini turut menyumbangkan komputer riba, alat tulis dan modul pembelajaran kepada PPDK Sentosa yang disampaikan kepada Pengerusi PPDK Sentosa, Laksamana Pertama Datuk Ahmad Harun.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas