Berita

481 fail ceroboh tanah dibuka

KERJA merobohkan premis yang dibina di atas tanah milik kerajaan tanpa izin oleh PPTGWPKL.
KERJA merobohkan premis yang dibina di atas tanah milik kerajaan tanpa izin oleh PPTGWPKL.
- Diterbit 17 Ogos 2019 5:41 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

KUALA LUMPUR – Sebanyak 481 fail berhubung pencerobohan tanah milik kerajaan negeri dan Persekutuan direkodkan Pejabat Penga­rah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPTG WPKL) bagi tempoh lima tahun bermula 2015.

Daripada jumlah itu, 86 fail yang dibuka adalah dari Januari hingga Julai tahun ini dengan kebanyakan kes adalah pendudukan secara tidak sah melibatkan rumah-rumah ibadat termasuk kilang, bengkel, restoran, kedai makan dan sebagainya.

Difahamkan mengikut pecahan, sebanyak 77 fail direkodkan pada 2018; 113 fail (2017 dan 2016) serta 92 fail pada 2015.
Menurut Pegawai Kanan Penempatan PPTG WPKL, Junainah Ramly, pihaknya sering mendapat aduan berhubung pembinaan rumah ibadat dan apabila siasatan dilakukan, ia dibina di atas tanah milik kerajaan tanpa izin.

“Kita juga berhadapan dengan beberapa kekangan ketika mengendalikan kes berkaitan rumah ibadat dan tidak kurang cemuhan serta spekulasi daripada warganet yang suka menokok tambah cerita tanpa mengetahui hal sebenar,” katanya kepada Wilayahku di sini baru-baru ini.

Tegas Junainah, tindakan yang diambil adalah bertepatan dengan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) yang mana penceroboh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak le­bih lima tahun sekiranya disabitkan kesalahan.

Ujar beliau, proses yang dilakukan juga mengikut lunas undang-undang iaitu siasatan tapak dilakukan terlebih dahulu selepas aduan diterima disusuli laporan tanah serta surat pemberitahuan pengosongan tapak.

“Selepas semua prosedur tersebut dilakukan, baru kita lakukan operasi penguatkuasaan. Bagaimanapun, kita juga mengamalkan prinsip kemanusiaan.

“Sebagai contoh, di kawasan setinggan, kita membantu penghuninya mendapatkan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan roboh walaupun mengikut akta, mereka tidak layak menerima sebarang pampasan atau gantian daripada kerajaan,” tegasnya.

Mengulas tentang jumlah fail yang dilihat sedikit, Junainah berkata, satu fail bukan bererti hanya terdapat satu kes sahaja sebaliknya beberapa kes yang direkodkan diletakkan di dalam fail yang sama sekiranya lokasi kes adalah berhampiran.

“Terdapat banyak kes di dalam fail yang dikendalikan tetapi apabila direkodkan, kes yang berada di lokasi sama akan dimasukkan di bawah satu fail,” jelasnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas