Berita

Wilayahku anjur Kempen Derma Darah

ANNUAR (kiri) melawat salah seorang penderma darah yang juga kakitangan di KWP.
- Diterbit 20 November 2020 6:21 AM MYT

PRIHATIN dengan kekurangan stok bekalan darah di Pusat Darah Negara dan Tabung Darah Negara, YWP Media (Wilayahku) menganjurkan Kempen Derma Darah di lobi Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) hari ini.

Program yang bermula pukul 10 pagi itu merupakan anjuran bersama Bahagian Komunikasi Korporat KWP, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Pusat Darah Negara Kementerian Kesihatan.

Pengurus Besar YWP Media, Azlan Abd Aziz berkata, penganjuran tersebut bertujuan membantu mengisi stok darah negara yang menghadapi masalah kritikal susulan pandemik COVID-19.

Ujar beliau, sejak dimulakan awal pagi tadi, lebih 50 individu hadir untuk menjayakan program tersebut.

“Ketika pandemik berlaku, stok darah negara berhadapan dengan kekurangan yang kritikal.

“Bagi Lembah Klang, penggunaannya adalah kira-kira 3,500 beg darah seminggu tetapi pada masa ini stok yang ada adalah di bawah 500 beg,” katanya kepada Wilayahku.

Salah seorang penderma darah, Aidil Syukri Hamzah, 33, menyifatkan, sumbangan darah itu merupakan salah satu usahanya bagi membantu negara.

Ujarnya yang kali kedua menderma darah, dia berasa sedikit teruja kerana hampir 15 tahun tidak berpeluang menyumbang kepada individu yang memerlukan.

Bagi Shazana Ilya Ab Rahim, 32, pula, dia tidak dibelenggu rasa takut kerana baginya sakit dicucuk jarum tidak seteruk sakit bersalin.

Sementara itu, Syuhada Shafa Md Othman, 24, yang pertama kali ingin menderma darah menzahirkan rasa sedih kerana tidak dibenarkan melakukannya berikutan kekurangan berat badan.

Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa hadir melawat penderma darah.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KWP, Datuk Rosida Jaafar; Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun. – WILAYAHKU

ANTARA individu yang menderma darah hari ini.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas