Berita

450 murid terima sumbangan Deepavali

SANTHARA menyerahkan sumbangan hamper Deepavali secara pandu lalu selaras konsep norma baharu.
- Diterbit 20 November 2020 5:40 AM MYT

YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) hari ini menyerahkan sumbangan hamper sempena Perayaan Deepavali kepada 450 murid dari 15 buah Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil (SJKT) sekitar Kuala Lumpur.

Sumbangan diberikan secara pandu lalu kepada wakil sekolah di hadapan Wisma YWP pagi tadi sejajar dengan pelaksanaan norma baharu pada masa ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zaizalnizam Zainun berkata, bantuan yang diberikan itu merupakan inisiatif dan keprihatinan YWP kepada golongan berpendapatan rendah di Wilayah Persekutuan.

“Saya harap, sumbangan ini dapat membantu meningkatkan taraf hidup B40 sejajar dengan 13 teras utama konsep Wilayah Prihatin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, pada program itu, penyampaian sumbangan disempurnakan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara.

Mengulas lanjut, Zaizalnizam berkata, sumbangan tersebut juga berdasarkan perkhidmatan dan gerak kerja YWP yang tertumpu kepada lima kluster utama iaitu Pendidikan, Ekonomi, Sosial, Agama dan Teknologi (P. E. S. A.T).

Tambah beliau, sumbangan tersebut juga selaras dengan matlamat inisiatif Wilayah Prihatin di bawah kluster Cakna Pendidikan yang memberi fokus membantu warga Wilayah Persekutuan terutama golongan B40 yang terjejas akibat pandemik COVID-19. – WILAYAHKU

ZAIZALNIZAM (tengah) memperkenalkan wakil sekolah yang menerima sumbangan Deepavali kepada Santhara (kanan).
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas